Amirul Aiman Hamsuddin

Subang Jaya: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sudah mengenal pasti identiti 10 mangsa termasuk lapan kanak-kanak yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, di sini, malam tadi.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, identiti mangsa itu termasuk seorang ibu dan lapan anak.

"Mangsa dikenal pasti sebagai Norul Naziah Buyong, 37, anaknya, Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3, dan Muhammad Raid Fathi berusia 10 bulan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, seorang lagi mangsa yang meninggal dunia ialah Mohamad Rahimi Rolex, 27.

"Empat mangsa yang cedera pula ialah Abd Razak Majit, 50, Ihyat Sufi Shokip, 20, Mimie Nafiesa Abdullah, 19, dan Ummi Nasuha Annuwar, 20.

"Manakala pemandu lori berusia 45 tahun dan dua anak lelakinya, masing-masing berusia 19 dan 14 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya.

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa kemalangan. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa kemalangan. FOTO ihsan bomba

Terdahulu, Norazam dilaporkan berkata, kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.

Beliau berkata, sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 11.42 malam untuk operasi menyelamat.

"Nahas membabitkan 17 mangsa, yang mana 10 daripadanya disahkan meninggal dunia," katanya.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 12:08 PM