PETUGAS barisan hadapan yang juga pengurus jenazah Covid-19 memangku jenazah salah seorang kanak-kanak yang maut dalam kemalangan berdekatan R&R USJ Lebuhraya Elite, semasa proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 hari ini. FOTO Bernama
PETUGAS barisan hadapan yang juga pengurus jenazah Covid-19 memangku jenazah salah seorang kanak-kanak yang maut dalam kemalangan berdekatan R&R USJ Lebuhraya Elite, semasa proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 hari ini. FOTO Bernama
ABD Razak (tengah) melihat kubur isteri dan lapan anaknya di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ABD Razak (tengah) melihat kubur isteri dan lapan anaknya di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: "Walaupun perit untuk menerima kenyataan ini, saya reda dengan ujian Allah SWT dan berdoa supaya roh isteri serta anak-anak ditempatkan dalam kalangan orang beriman."

Demikian kepiluan dirasai Abd Razak Majit, 50, yang kehilangan sembilan ahli keluarganya sekelip mata selepas terkorban dalam nahas membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, kelmarin.

Dalam kejadian 11.45 malam itu, Norul Naziah Buyong, 37, maut bersama lapan anaknya iaitu Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan.

Turut terkorban ialah mekanik, Mohamad Rahimi Rolex, 27, manakala Abd Razak pula cedera di kaki kanan.

Berkongsi kisah pilu itu, Abd Razak berkata, kejadian berlaku ketika dia sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Padang Jawa, Klang selepas menghadiri majlis kenduri kahwin saudara di Melaka.

"Secara tiba-tiba, Proton Wira dinaiki kami mengalami kerosakan bateri dan terpaksa berhenti di tepi jalan.

"Ketika memeriksa kereta, sekelip mata saya sedar sudah terbaring atas jalan. Manakala kenderaan kami pula berada di bawah treler," katanya dalam nada sebak, hari ini.

Dia ditemui selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 dekat sini.

Sebelum itu, jenazah sembilan beranak berkenaan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad mengikut turutan, 1.30 tengah hari hari ini..

Dalam pada itu, Abd Razak yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bersyukur proses pengebumian berjalan lancar dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.

Terdahulu, jenazah sembilan sekeluarga itu dimandikan dan disembahyangkan di Unit Forensik, Hospital Shah Alam pada 9 pagi, sebelum dibawa menggunakan lapan van jenazah yang diiringi sepasukan polis trafik.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 5:28 PM