Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Jenazah sembilan sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, selamat dikebumikan tengah hari tadi.

Semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini, jam 1.30 tengah hari.

Sebanyak lapan van jenazah yang dipandu petugas kesihatan lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) diiringi polis tiba di tanah perkuburan itu pada 12.40 tengah hari tadi.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran ahli keluarga dan saudara mara arwah.

Sebelum itu, jenazah dimandikan pada 9 pagi dan disembahyangkan di Unit Forensik, Hospital Shah Alam.

JENAZAH sembilan beranak selamat dikebumikan tengah hari tadi. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
JENAZAH sembilan beranak selamat dikebumikan tengah hari tadi. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Terdahulu, media melaporkan Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anaknya iaitu Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan.

Turut terkorban sama ialah mekanik, Mohamad Rahimi Rolex, 27.

Kejadian berlaku ketika keluarga malang itu bersama suami, Abdul Razak Majit, 50, dalam perjalanan pulang ke rumah di Padang Jawa, Klang selepas menghadiri majlis kenduri kahwin saudara di Melaka.

Bagaimanapun, anak lelaki mangsa yang berusia 14 tahun terselamat kerana tidak mengikuti keluarga berkenaan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 2:23 PM