UYAINA Arshad. FOTO Aziah Azmee
UYAINA Arshad. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

LEMBARAN kerjaya seni pelakon dan pengacara jelita, Uyaina Arshad, 27, terus bersinar dan bertahan di kemuncak.

Walaupun kini berada seketika di tanah air, Uyaina menarik perhatian ramai dengan lakonan mantapnya dalam drama Jujurlah Nikahi Aku arahan Rashid Sibir.

Menjadi anak malang yang tidak disayangi ibu kandung kerana cacat, Uyaina berkata, watak Nurin dilakonkannya sangat mencabar dan bermain emosi.

“Apatah lagi, untuk watak Nurin itu saya pula teruk didera Raja Azura yang membawa watak ibu. Memang kebanyakan penonton marah dan kasihan dengan nasib menimpa Nurin.

“Ibu saya di rumah pun tidak sanggup menonton drama itu kerana sedih melihat anaknya dilayan dengan kejam. Kelakar juga kerana itu hanya lakonan. Lakonan mantap Raja Azura memang saya tak boleh nafikan boleh membuat penonton geram. Dia sangat berbakat walaupun kelakar orangnya,” katanya.

Uyaina berkata, hubungannya dengan Raja Azura di lokasi juga rapat.

Kata pengacara Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 itu, mereka sentiasa bergurau dan suasana kerja umpama satu keluarga ceria.

Menganggap pembabitannya berlakon dalam drama Jujurlah Nikahi Aku dapat menimba pelbagai pengalaman baru, Uyaina berkata, Rashid juga banyak berkongsi ilmu.

JADI pengacara pertandingan Puteri Muslimah Asia 2020
JADI pengacara pertandingan Puteri Muslimah Asia 2020

Ditanya juga perancangannya ke Jakarta, Indonesia pada April

depan, Uyaina berkata, dia terbabit sebagai pengacara pertandingan Puteri Muslimah Asia 2020.

“Alhamdulillah, saya masih mendapat peluang dan kepercayaan dari stesen TV, Indosiar untuk mengacarakan program diterbitkan itu.

“Saya pula tidak menolak tawaran menjadi pengacara pertandingan Puteri Muslimah Asia 2020 kerana pada 2018 lalu, saya adalah juaranya.

“Sebagai juara musim pertama Puteri Muslimah Asia, saya berpeluang menyerahkan mahkota kemenangan kepada juara baru pada malam kemuncak persaingan nanti. Saya teruja untuk terbabit dalam produksi penerbitan Puteri Muslimah Asia 2020 ini sebagai mengimbau kenangan indah dua tahun lalu,” katanya.

Menurut Uyaina, di pentas Puteri Muslimah Asia itulah menjadi titik permulaan dia berjaya mengembangkan kerjaya seni dalam bidang pengacaraan di Indonesia.

“Bakat pengacaraan saya mula mendapat perhatian di Indonesia selepas muncul juara dalam pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018. Alhamdulillah, rezeki saya.

“Kini, saya harap perjalanan kerjaya seni yang dibina di Malaysia dan Indonesia akan bergerak seiring. Malah, saya akan cuba tidak melepaskan peluang yang diperoleh,” katanya.

Mengulas perkembangan karier lakonannya, Uyaina berkata, dia masih dalam pertimbangan untuk beberapa projek drama terbaru.

Katanya, dia perlu memilih dengan teliti kerana tidak mahu jadual kerja terlalu padat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 6:15 AM