TUN Ahmad Sarji. FOTO Arkib NSTP
TUN Ahmad Sarji. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, 82, meninggal dunia, awal pagi hari ini.

Pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu hantaran di Facebook.

"Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid atas pemergian Allahyarham yang meninggal dunia pada 28 Ogos (hari ini), jam 1.40 pagi," katanya.

Allahyarham, adalah Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Sebelum ini, Allahyarham menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras.

Menurut catatan Unit Perhubungan Korporat Ikim, Ahmad Sarji yang dilahirkan pada 16 September 1938 adalah pengasas dan Pengerusi Ikim pertama yang dilantik pada 1992, sehingga disandang pula oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 1 September 2015.

Pada 4 Februari 2019, Ahmad Sarji dilantik semula sebagai Pengerusi IKIM sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 8:49 AM