TUN Ahmad Sarji Abdul Hamid
TUN Ahmad Sarji Abdul Hamid
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemergian tokoh perkhidmatan awam yang disegani, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang meninggal dunia hari ini kehilangan besar buat negara.

Presiden Perikatan Nasional itu berkata, pemergian Allahyarham yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta mantan Ketua Setiausaha Negara adalah satu kehilangan besar bukan sahaja buat ahli keluarga tetapi kepada negara secara keseluruhan menerusi jasa dan khidmat baktinya selama ini.

"Semasa menjadi Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham dikenali sebagai tokoh yang mendukung konsep Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memberi fokus kepada kepuasan hati pelanggan dan penambahbaikan kualiti secara berterusan, sekali gus menjadikan perkhidmatan awam negara sebagai antara yang terbaik.

"Secara peribadi, Allahyarham saya kenali sebagai seorang individu yang tegas dan amat berdedikasi dalam menjalankan setiap amanah yang digalas," katanya menerusi Facebook rasmi beliau, hari ini.

Katanya, Allahyarham berani dan lantang bersuara, tegas dalam membuat keputusan, amanah dalam berkhidmat serta berdisiplin tinggi.

"Penampilannya yang sederhana serta mudah didekati menjadikan Allahyarham amat disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

"Salam takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan orang tersayang.

"Sama-samalah kita berdoa supaya Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Sementara itu luahan sama turut dinyatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berdukacita dengan pemergian Ahmad Sarji.

"Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan semoga tabah menghadapi dugaan ini.

"Doakan agar roh dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 11:49 AM