ALLAHYARHAM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. FOTO arkib NSTP
ALLAHYARHAM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan mantan Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam di dalam negara.

Perdana Menteri berkata, Allahyarham cukup sinonim dengan pelbagai usaha mempertingkat imej dan kecekapan tadbir urus perkhidmatan awam dan komited menyumbang idea serta kepakaran termasuk dalam sektor pendidikan walaupun selepas bersara.

"Hari ini, Keluarga Malaysia kehilangan seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat dihormati dan disegani iaitu Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.

"Sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Majlis Raja-Raja, Allahyarham juga memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam di dalam negara," katanya dalam Facebook rasminya hari ini.

Menurutnya, pemergian Allahyarham yang baginya adalah seorang negarawan adalah satu kehilangan besar buat negara.

"Jasa bakti Allahyarham akan terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia sampai bila-bila.

"Salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang dan saya doakan supaya tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 12:38 PM