Tun Ahmad Sarji dilantik pengerusi baru IKIM 4 Februari lalu. FOTO Bernama
Tun Ahmad Sarji dilantik pengerusi baru IKIM 4 Februari lalu. FOTO Bernama
BERNAMA

BEKAS Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dilantik Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang baru berkuat kuasa 4 Februari lalu.

Dalam satu kenyataan IKIM hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Ahmad Sarji kerana beliau berpengalaman luas dan cemerlang dalam menerajui pelbagai badan kerajaan dan organisasi di dalam sektor awam, korporat, agama, pendidikan, budaya dan sukan sejak 1961 sehingga kini.

“Pada 2018 beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam.

“IKIM yakin pelantikan Tun Ahmad Sarji akan mengukuhkan lagi prestasi IKIM dalam menjayakan misi dan visi penubuhannya untuk menjadi institusi utama kefahaman Islam bertaraf antarabangsa dengan menjalankan program penyelidikan bermanfaat besar, meningkatkan kefahaman Islam yang benar kepada pelbagai lapisan masyarakat dalam dan luar negara serta memberi khidmat perundingan kepada semua pihak melalui saluran media dan ilmiahnya,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, Dr Mahathir turut melantik Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman sebagai Naib Pengerusi IKIM berkuat kuasa pada tarikh sama.

“Tan Sri Sheikh Ghazali mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam dan antara lain adalah Ahli Majlis Pakar Pelbagai Disiplin (Syariah) di Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Justeru, warga kerja IKIM merakamkan setinggi penghargaan kepada Dr Mahathir di atas kedua-dua pelantikan ini.

“Tahniah diucapkan kepada Tun Ahmad Sarji dan Tan Sri Sheikh Ghazali,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi IKIM disandang bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjawat jawatan itu dari 1 September 2015 sehingga 31 Ogos 2018 manakala Naib Pengerusinya Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali yang meninggal dunia pada 31 Oktober 2017.

Ahmad Sarji yang juga pengasas institusi itu dilantik menjadi pengerusi pertama pada 1992.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 10:10 PM