Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, ucapan tahniah atas perlantikan itu dimuat naik Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi Facebook (FB) sebentar tadi.

"Tahniah YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob yang telah diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

"Saya sebut beberapa hari lepas, perkara terpenting yang negara perlukan ketika ini ialah kestabilan.

"Ia demi membolehkan negara kembali menumpukan terhadap usaha menangani krisis #Covid19, memulihkan ekonomi serta membela kesejahteraan rakyat," katanya hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) memberi jaminan akan membantu Ismail Sabri atas apa juga kapasiti demi kepentingan negara.

"Selamat menjalankan amanah Dato' Sri. Semoga Allah SWT merahmati ketentuan ini. Amin Ya Rabbal Alamin," katanya.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 5:07 PM