Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Kerajaan akan membentuk Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dasar itu antara strategi akan digunakan dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dilancarkan hari ini.

Beliau berkata, ANMS turut diberikan penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) terutama dalam mempertingkatkan literasi kesihatan dan kesedaran mengenai kesihatan rakyat.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO ARKIB NSTP
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO ARKIB NSTP

"Melalui dasar ini, beberapa inisiatif akan dilaksanakan termasuk penganjuran program kesedaran penjagaan kesihatan akan dipergiat melalui pelbagai platform pada semua peringkat dengan memanfaatkan fasiliti di bawah pelbagai agensi.

"Bagi memastikan literasi kesihatan Keluarga Malaysia dapat dipertingkatkan, program pembangunan keupayaan Ejen Kesihatan Komuniti (MyCHAMPION) akan diperkukuhkan, terutama dalam usaha pendidikan dan promosi kesejahteraan kesihatan," katanya ketika berucap melancarkan ANMS yang disiarkan menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1, hari ini.

Majlis pelancaran turut disertai Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

"Menerusi tahap literasi kesihatan tinggi, kita akan mendapat maklumat kesihatan, membudayakan hidup sihat, membuat kawalan kesihatan kendiri sebagai tindakan awal mencegah penyakit dan menjaga kesihatan bagi mengelak komplikasi.

"Keluarga Malaysia dapat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan diperlukan untuk membuat keputusan mengenai kesihatan dan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat, sekali gus dapat mengekalkan kesihatan baik," katanya.

Beliau berkata, sebagai contoh, Keluarga Malaysia dalam kalangan B40 akan mendapat akses kepada maklumat kesihatan, memahami kepentingan penjagaan kesihatan dan melakukan saringan kesihatan percuma melalui program skim PekaB40.

Menurutnya, ini membolehkan kita kita mengenalpasti risiko kesihatan lebih awal dan menjalani intervensi kesihatan sama ada di Wellness Hub (Hub Sejahtera), klinik kesihatan dan hospital mengikut status kesihatan.

"Kita akan mendapat kemahiran saringan status kesihatan kendiri seperti mengetahui bacaan tekanan darah dan tahap glukos dalam darah.

"Keluarga Malaysia turut mendapat faedah kesihatan bagi pengurusan berat badan, pengurusan stres dan khidmat bantuan berhenti merokok serta menjalani intervensi kesejahteraan kesihatan di fasiliti kesihatan dengan persekitaran kondusif.

"Ini membolehkan Keluarga Malaysia bukan sahaja dapat membudayakan hidup sihat, mengurangkan risiko penyakit, mengurangkan kos rawatan dan pemulihan, malah menjalani hidup lebih berkualiti," katanya.

Beliau berkata, sebagai jaminan kepada aspirasi murni itu, kerajaan komited menyediakan peruntukan mencukupi bagi memastikan ANMS dapat dijayakan dan memberi manfaat sepenuhnya kepada Keluarga Malaysia.

Menurutnya, ANMS adalah milik Keluarga Malaysia dan berharap seluruh rakyat memberikan sokongan penuh serta kerjasama erat untuk menjayakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 12:01 PM