Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Dua daerah di Sabah dan satu kawasan di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula 11 hingga 24 Oktober ini.

Tiga kawasan terbabit dengan PKPD itu ialah di Semporna dan Kunak di Sabah serta Penjara Pokok Sena, Kedah.

Memperincikannya, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam lokaliti di Semporna itu membabitkan Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunul dan Kampung Pinggir Bakau manakala satu lokaliti di Kunak iaitu Kampung Pangkalan.

"Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bersetuju mengenakan PKPD di Semporna dan Kunak membabitkan 35,643 penduduk.

"Ini berikutan cadangan MKN Sabah mengenai situasi lokaliti baharu diklasifikasikan sebagai zon merah berlakunya peningkatan kes mendadak," katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Katanya, semua sekolah, masjid dan rumah ibadat lain ditutup sepanjang tempoh ini termasuk aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya tidak dibenarkan.

"Aktiviti ekonomi turut ditutup dan kerajaan negeri Sabah bersetuju mengagihkan makanan di tujuh lokaliti terbabit dan pengagihan makanan akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana.

"Selain itu, semua sekolah, masjid, tempat ibadat dan aktiviti sosial tidak dibenarkan bagi membolehkan saringan bersasar dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. Bernama
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. Bernama

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, KKM hari ini mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 membabitkan kakitangan penjara dan keluarga, anggota polis dan petugas kesihatan di Penjara Pokok Sena.

"Selepas berbincang dengan kerajaan negeri Kedah, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di kawasan Penjara Pokok Sena termasuk kuarters kakitangan selama 14 hari berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam, 11 hingga 24 Oktober ini.

"Jumlah penghuni yang terbabit seramai 3,262 tahanan dan 587 kakitangan.

"Pelaksanaan PKPD ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kawasan serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 5:39 PM