Zaid Salim


Kuala Terengganu: Sambutan Aidilfitri tahun ini amat sayu bagi penulis apabila terpaksa menyambutnya di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Chendering, di sini, selepas disahkan positif Covid-19.

Apa tidaknya, penulis dibawa ke pusat kuarantin berkenaan di saat takbir raya mula berkumandang.

Lebih sebak, hanya lambaian tangan dan ucapan Selamat Hari Raya mampu dilafazkan kepada si anak dan isteri meskipun insan tersayang berada di hadapan mata.

Tanpa huluran salam kemaafan, tanpa pelukan kasih sayang, hanya mampu memanjatkan doa semoga semuanya dipermudahkan dalam tempoh 10 hari dikuarantin.

Itu perasaan yang dapat dikongsi penulis di saat terpaksa melangkah meninggalkan kediaman dan keluarga selepas 'dijemput" kenderaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke PKRC, 30 Ramadan lalu untuk menjalani kuarantin.

Walaupun sedih, namun penulis rasa bertuah kerana dipilih Allah untuk menghadapi ujian ini sekali gus berpeluang melihat sendiri bagaimana pengorbanan petugas barisan hadapan.

Ketika dalam perjalanan ke pusat kuarantin, kenderaan yang dinaiki memasuki beberapa kampung untuk mengambil pesakit.

Setiap lokasi mempunyai cerita dan suasana berbeza yang pastinya menyentuh perasaan.

Paling menyentuh hati apabila melihat dua beradik yang masih di sekolah rendah yang sepatutnya meraikan kegembiraan menyambut 1 Syawal bersama keluarga terpaksa beraya tanpa orang tersayang selepas ibu, adik dan nenek mereka dibawa ke pusat kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.

PENULIS yang kini menjalani kuarantin di PKRC UiTM Chendering selepas disahkan positif Covid-19. FOTO Zaid Salim.
PENULIS yang kini menjalani kuarantin di PKRC UiTM Chendering selepas disahkan positif Covid-19. FOTO Zaid Salim.

Di malam raya, mereka terpisah, bagaimana pula keadaan mereka pada pagi hari raya dan hari-hari seterusnya sepanjang tempoh keluarga mereka menjalani kuarantin.

Penulis bersama tujuh lagi pesakit Covid-19 termasuk rakan dari Astro Awani Terengganu tiba di perkarangan PKRC UiTM Chendering kira-kira 10 malam.

Keadaannya sunyi sepi kerana ia baru dibuka selepas PKRC Kolej Jururawat bersebelahan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, penuh, menjadikan kami antara penghuni terawal di sini.

Namun, pada pagi Aidilfitri suasana bertukar riuh apabila sebahagian bilik yang sebelum ini kosong sudah didiami sekali gus menjadikan suasana di perkarangan pusat kuarantin 'meriah'.

Malah, menjelang petang, kelihatan ada kanak-kanak sambil ditemani ibu bapa bermain di kawasan lapang, ampaian juga sudah penuh, golongan remaja pula ada yang berjoging dan bermain sepak takraw, manakala golongan berusia pula bersembang sementara menunggu waktu Maghrib.

Fokus penulis bukan mahu menggambarkan kemeriahan suasana itu, tetapi sebaliknya mahu masyarakat di luar sana berfikir dari mana datangnya semua pesakit yang ramai ini.

Bayangkan, hanya dalam tempoh dua hari penulis berada di pusat ini, hampir keseluruhan bilik bangunan empat tingkat ini didiami pesakit dan hari ini jumlah pesakit sudah melebihi 200 orang.

Apa tidaknya, setiap waktu sehingga menjelang tengah malam ada sahaja kenderaan KKM, ambulans atau bas masuk untuk menghantar pesakit.

Bagi petugas KKM, meskipun penat, setiap pesakit yang tiba disambut dengan layanan mesra.

"Kasihan tengok mereka bekerja, tak berhenti-henti, itu situasi di sini... kalau di hospital entah macam mana agaknya," kata seorang pakcik ketika kami bersembang sambil melihat petugas KKM bekerja.

PESAKIT Covid-19 sedang menunggu giliran. FOTO Zaid Salim.
PESAKIT Covid-19 sedang menunggu giliran. FOTO Zaid Salim.

Ketika bersembang, jelas dari raut wajahnya, pakcik yang berusia sekitar 70-an itu bimbang dengan keadaan yang berlaku.

"Kalau tak masuk sini (PKRC) tak tahu, cuma dengar orang cakap sahaja, tetapi bila sudah masuk baru nampak sendiri macam mana keadaannya.

"Kita sama-sama jagalah, Covid-19 ni bahaya, yang penting sentiasa pakai pelitup muka dan duduk rumah sebab virus ini tak sama macam yang mula-mula dulu," katanya.

Pakcik yang tinggal di Setiu berkata, dia sudah tiga kali menjalani kuarantin dan kali ketiga baru disahkan positif selepas menjadi kontak rapat anaknya yang bersekolah di daerah itu.

Tempoh kuarantin penulis berakhir 19 Mei dan selama tujuh hari berada di pusat ini, terlalu banyak pengalaman dan ilmu berkaitan Covid-19 dikongsikan petugas KKM dan doktor.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 2:34 PM