FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Terengganu akan membuka satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di asrama penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kapasiti 484 katil bagi menampung peningkatan bilangan pesakit wabak berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia adalah PKRC kelima dibuka di Terengganu setakat ini.

"Empat PKRC sedia ada ialah di Institut Perguruan Sultan Mizan (IPGSM), Besut dengan kapasiti 398 katil, Kem Wawasan Besut (200 katil), Universiti Teknologi Mara Chendering, Kuala Terengganu (1,128 katil) dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kuala Terengganu (162 katil).

"Setakat ini, seramai 1,387 pesakit sedang dirawat di semua PKRC berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, Pengarah PKRC UMT, Dr Muhammad Lutfil Zulkafa berkata, pembukaan PKRC itu tidak mendedahkan risiko jangkitan Covid-19 kepada warga UMT dan komuniti setempat selain ia tidak menggangu perjalanan dan operasi UMT.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 8:56 PM