GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jumlah katil bagi merawat pesakit yang kritikal akibat Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, masih mencukupi.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, buat masa ini sembilan pesakit sedang menerima rawatan di unit berkenaan.

"Keadaan di ICU HSNZ masih stabil yang mana ia boleh menampung sehingga 20 pesakit, termasuk 12 untuk pesakit Covid-19.

"Setakat hari ini, sembilan kes sedang dirawat di wad kecemasan HSNZ dengan lima daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya ketika dihubungi melalui Whatsapp, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri bimbang jumlah katil di ICU HSNZ tidak mencukupi untuk merawat pesakit kritikal akibat Covid-19.

"Menjadi kebimbangan kerajaan negeri berikutan peningkatan kes pandemik ini setiap hari termasuk kes positif," katanya.

Katanya, kerajaan tidak terlalu bimbang masalah katil tidak mencukupi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk pesakit.

"Saya dimaklumkan terdapat 1,118 katil disediakan di tiga PKRC iaitu sebanyak 262 di Institut Latihan KKM Kuala Terengganu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Chendering (760 buah katil) dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Marang, sebanyak 96 katil, untuk pesakit Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 3:48 PM