GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Terengganu: Vaksin bagaikan 'kubu' dan pelindung yang kukuh di dalam tubuh badan meskipun 'diserang' Covid-19.

Pengakuan itu dilontarkan dua bekas pesakit wabak itu setelah mereka terselamat daripada mengalami sebarang simptom berikutan sudah menerima suntikan vaksin.

Nur Fazlizai Ali, 34, seorang pengamal media, dijangkiti hanya kira-kira tiga minggu selepas melengkapkan suntikan vaksin Sinovac, keluaran negara China itu.

"Saya menerima vaksin dos pertama pada 1 April, manakala dos kedua pada 22 April lepas. Memang agak terkejut pada awalnya apabila disahkan positif pada 12 Mei dan dimaklumkan jangkitan itu membabitkan kenalan yang saya temui bagi urusan kerja.

"Berkali-kali saya tanya doktor untuk buat pengesahan, namun akhirnya jawapan tetap sama dan saya terpaksa ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC)," katanya yang dihubungi Bernama di sini, baru-baru ini.

Nur Fazlizai berkata, lebih menyayat hati, dia menaiki van Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke PKRC di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Chendering, di sini pada waktu malam dengan diiringi takbir Aidilfitri.

"Sangat sedih dan takut sebenarnya... memang tak tergambar perasaan ketika itu tetapi tetap berdoa agar vaksin yang saya terima sebelum ini mampu menghilangkan virus secepat mungkin.

"Apa yang saya bimbangkan ialah jangkitan terhadap orang lain... namun ia tetap berlaku kerana daripada 30 kontak rapat, dua daripadanya dijangkiti. Syukur... mereka tidak bergejala teruk," katanya.

Ketika ditanya sama ada timbul keraguan dan penyesalan ekoran dijangkiti meskipun sudah divaksin, wanita itu berkata: "Sudah tentu tidak kerana jika dibandingkan dengan keadaan pesakit lain yang belum menerima vaksin, saya sebenarnya adalah insan bertuah".

Dia berkata, di PKRC itu, ramai pesakit yang mengalami batuk teruk, demam serta hilang deria bau tetapi keadaan beliau bagaikan tidak dijangkiti hingga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain termasuk menulis berita.

Senada dengan Nur Fazlizai mengenai kepentingan vaksin, Zaid Salim, 50-an, yang dijangkiti selepas menerima suntikan pertama berkata, dia juga tidak mengalami sebarang simptom.

Zaid yang juga wartawan sambilan di sebuah syarikat akhbar, menerima suntikan itu pada 11 Mei lepas dan didapati positif Covid-19 tiga hari selepas itu serta dimasukkan ke PKRC UiTM Cawangan Chendering.

"Saya dikatakan dijangkiti ketika membuat liputan seperti Nur Fazlizai dan tidak mengetahui bahawa ada dalam kalangan mereka yang hadir adalah positif.

"Namun, suntikan vaksin yang diterima bukan sekadar menyebabkan saya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan malah daripada 40 kontak rapat, tiada seorang pun yang positif termasuk ahli keluarga yang pastinya sentiasa bersalaman setiap hari," katanya yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech.

Dia berkata, berikutan disahkan positif Covid-19, suntikan dos kedua yang sepatutnya dilakukan pada 14 Jun terpaksa ditangguhkan dan perlu menunggu selama enam bulan daripada tarikh keputusan didapati positif.

Menceritakan pengalaman mereka yang terpaksa berhari raya di PKRC, Nur Fazlizai dan Zaid berkata, ia hanya 'masalah kecil' jika dibandingkan dengan kesukaran petugas di situ yang bukan sekadar berdepan dengan puluhan tetapi ratusan pesakit setiap hari.

Menurut mereka, individu yang terpilih untuk menerima vaksin tidak harus melepaskan peluang mendapatkan suntikan kerana ia bukan sahaja melindungi diri sendiri tetapi juga orang lain.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 8:09 AM