Shyanne bakal berdepan tuduhan berat mengabaikan anaknya. FOTO AGENSI
Shyanne bakal berdepan tuduhan berat mengabaikan anaknya. FOTO AGENSI
Agensi

Indianapolis: Seorang wanita dari Scottsburg di Indiana akan didakwa kerana menyebabkan anak perempuannya hampir meninggal dunia kerana serangan kutu yang serius.

Portal WLKY melaporkan Shyanne Nicole Singh berdepan pertuduhan mengabaikan anaknya hingga mengakibatkan kecederaan badan yang serius.

Satu sumber memaklumkan kanak-kanak berusia empat tahun itu mengalami beberapa masalah antaranya tidak dapat berjalan.

Kakitangan di sebuah hospital memberitahu tahap hemoglobin kanak-kanak itu berada pada paras terendah yang pernah mereka lihat.

"Tahap hemoglobin kanak-kanak itu 1.7, berbanding tahap normal iaitu 12," kata pegawai berkenaan.

Pegawai penyiasat juga diberitahu kanak-kanak perempuan itu sudah menerima empat paket darah.

Siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu mempunyai kakak berusia enam tahun yang juga mengalami serangan kutu.

Pegawai penyiasat itu menyifatkan apa yang berlaku tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

"Kakak budak itu juga diuji untuk mengetahui sama ada jangkitan kutu turut menyebabkan kecederaan padanya," katanya.

Menurut polis, kanak-kanak berkenaan sebelum itu dihantar pulang dari sekolah pada bulan Mac kerana jangkitan kutu dan tidak kembali ke kelas selama 31 hari.

Pegawai Jabatan Perkhidmatan Kanak-kanak memaklumkan budak itu ditempatkan di tempat penjagaan datuk dan neneknya pada bulan lalu.

Neneknya memberitahu polis dia berusaha merawat kutu itu, tetapi ahli farmasi mengesyorkan untuk membawa cucunya ke hospital kerana tahap serangan yang teruk.

Nenek itu mengatakan dia bertanya kepada ibu mangsa mengenai punca kejadian itu, tetapi wanita itu mendakwa tidak menyedari perkara itu.

Kes itu kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 6:30 AM