TANGKAP layar daripada video di YouTube menunjukkan kanak-kanak perempuan mencampak anak kecil ke dalam perigi.
TANGKAP layar daripada video di YouTube menunjukkan kanak-kanak perempuan mencampak anak kecil ke dalam perigi.
Agensi

Beijing: Perbuatan kanak-kanak perempuan China berusia tujuh tahun mencampak anak kecil dalam perigi mencetuskan kebimbangan kerana dipercayai meniru imej ganas yang disiarkan televisyen.

Dalam video yang dirakam oleh kamera pengawasan yang tular itu, kelihatan kanak-kanak itu mendukung seorang anak kecil lelaki sebelum menjatuhkannya ke dalam perigi di sebuah kampung, daerah Songming, Yunnan.

Walaupun kanak-kanak lelaki itu berusaha menyelamatkan diri, kanak-kanak itu menolak jari budak itu dari tepi perigi menyebabkan mangsa jatuh ke dalam perigi sedalam lima meter (m).

Kanak-kanak lelaki itu menjerit meminta pertolongan, manakala kanak-kanak perempuan berdiri di tepi perigi seketika, sebelum berlalu pergi.

Penduduk kampung akhirnya menyelamatkan kanak-kanak lelaki itu selepas mendengar jeritan mangsa yang meminta tolong.

Menurut media tempatan Rabu lalu, pihak berkuasa kampung mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira 4 petang pada 4 Mac lalu.

Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu bernama Yang hanya mengalami selesema dan tiada sebarang kecederaan atau penyakit serius.

Kanak-kanak perempuan bernama Wang itu dipercayai meniru plot yang pernah dilihatnya dalam sebuah rancangan televisyen.

Polis daerah Songming berkata, air dalam perigi itu sedalam kira-kira dua m, manakala anak kecil itu terjatuh sedalam 2.65 m sebelum terkena permukaan air.

Katanya, kedua-dua kanak-kanak itu berjiran dan sering bermain bersama sebelum kejadian.

Keluarga kanak-kanak itu bersetuju menyelesaikan isu itu dengan pembayaran pampasan ribuan yuan dan makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 11:30 AM