ANTARA tapir yang mati akibat kemalangan jalan raya terutama pada waktu malam.
ANTARA tapir yang mati akibat kemalangan jalan raya terutama pada waktu malam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Boleh dianggap antara haiwan paling malang di Malaysia dan kerap menemui ajal akibat nahas jalan raya berbanding hidupan liar dilindungi lain.

Tabiat tapir atau tenuk Malaysia (Tapirus indicus) yang aktif dan gemar merayau pada waktu malam antara sebab haiwan ini kerap ditemui maut dirempuh kereta atau kenderaan berat di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, peningkatan kes tapir maut dalam kemalangan jalan raya jelas meningkat dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

"Setakat tiga bulan pertama 2021, enam tapir mati dilanggar. Manakala tahun lalu, 24 tapir maut akibat dirempuh kenderaan.

"Kebanyakan kes ini berlaku di laluan berhampiran hutan dan kawasan pembalakan. Tapir adalah haiwan nocternal iaitu spesies yang gemar bergerak pada waktu malam. Haiwan ini biasa mempunyai keluasan habitat antara 10 kilometer (km) hingga 25 km persegi," katanya.

Beliau berkata, terdapat bukti tapir sering menggunakan laluan pembalakan untuk bergerak dari kawasan habitatnya yang diganggu.

"Oleh itu jalan raya turut memudahkan tapir melakukan pergerakan untuk mencari habitat baharu.

"Dakwaan haiwan liar ini tidak takut kenderaan di jalan raya adalah tidak benar. Hanya segelintir tapir berada di habitat fregmentasi atau terdedah manusia mudah dihampiri," katanya.

Katanya, seperti haiwan liar lain, tapir berdepan isu kepupusan kesan dari pencerobohan dan guna tanah tidak terkawal.

"Buat masa ini dianggarkan terdapat antara 1,000 hingga 1,300 tapir di hutan negara ini.

"Angka ini diperoleh hasil cerapan perangkap kamera semasa kajian harimau belang dilakukan di Semenanjung Malaysia antara 2016 hingga 2020," katanya.

Susulan itu, Kadir menasihati pengguna jalan raya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan lintasan hidupan liar terutama pada waktu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 6:45 AM