SEMAKIN kukuh namanya antara artis pasaran muzik Inggeris paling disegani di Indonesia.
SEMAKIN kukuh namanya antara artis pasaran muzik Inggeris paling disegani di Indonesia.
Georgie Joseph


DALAM pasaran muzik Inggeris di Indonesia, Rendy Pandugo tidak disangkal antara nama kukuh yang cukup disegani karyanya. Penyanyi lagu Home ini memiliki tekstur suara yang unik dan corak lagunya menenangkan.

Kiranya, sisi muzikal Rendy, 36, tidak perlu dipertikai lagi kehebatannya. Dia berjaya memacak tiang jenamanya sendiri sebagai pemuzik yang berada dalam kelas dan memiliki pengikut tersendiri.

Perihal berkarya baginya semakin sebati dalam diri dan penghasilan lagu juga makin mudah. Namun tetap ada satu aspek yang diakuinya masih sukar untuk dikuasai sehingga sekarang.

Rendy berkata, antara banyak-banyak emosi lagu, dia paling susah menulis lagu sedih. Baginya, dia masih tercari-cari formula bagaimana untuk menghasilkan lagu sedih dengan menyalurkan seluruh jiwanya.

"Keseluruhan hidup saya cukup menggembirakan. Saya sudah berkahwin, memiliki keluarga dan hal-hal gembira sahaja yang memenuhi ruang persekitaran saya.

CABARAN Rendy salur emosi kesedihan dalam penghasilan karya.
CABARAN Rendy salur emosi kesedihan dalam penghasilan karya.

"Justeru, saya mengalami kesukaran di situ untuk cuba menyalurkan emosi dalam bentuk lagu sedih. Disebabkan itu, corak lagu yang saya hasilkan rata-rata lebih kepada emosi kegembiraan," katanya.

Itu juga antara cabaran yang Rendy hadapi untuk mencari hala tuju terbaik menghasilkan EP baharunya berjudul See You Someday. Baginya, penghasilan karya itu menuntutnya lebih fokus kepada apa yang dirasakan tepat dalam hatinya.

Bagaimanapun, dia mengakui seronok apabila dapat menghasilkan lagu yang cukup istimewa termasuk lagu Home sendiri. Ia kerana, lagu itu bersifat peribadi dan menyentuh kisah keluarganya sendiri.

Dihasilkan pada 2018, lagu terbabit antara karya berani pernah ditulisnya. Apalagi dia sendiri jarang mendedahkan secara terbuka perihal mengenai keluarga.

Apapun, Rendy berkata, perihal itu bukan disebabkan dia takut atau mahu berahsia mengenai keluarganya. Sebaliknya, dia melihat lagu itu tepat menggambarkan gejolak perasaannya memikirkan keluarga pada saat itu.

"Lagu Home saya tulis ketika terbabit dalam siri jelajah beberapa tahun lalu. Saya pun sebenarnya tidak sangka akan menulis lagu yang bersifat peribadi apalagi ia berkaitan keluarga sendiri.

RENDY semakin bersemangat memajukan dirinya serta tampil dengan karya lebih hebat.
RENDY semakin bersemangat memajukan dirinya serta tampil dengan karya lebih hebat.

"Sebenarnya saya tiada masalahpun untuk membuka cerita mengenai hal peribadi sebegini. Cuma untuk lagu itu, baru saya terjentik berbuat demikian kerana intipatinya cukup istimewa dalam diri saya," katanya.

Memulakan kerjaya seni sejak 2012, Rendy sememangnya mempamerkan transisi ketara dalam corak penghasilan karyanya. Cukup sarat dengan corak penceritaan mendalam, itu sebenarnya kekuatan muzikal penyanyi ini.

Bagaimanapun, dia sedar proses pembelajaran dalam berkarya perlu berterusan. Sebagai artis, dia sentiasa memikirkan apa lagi elemen mantap yang mampu disajikan kepada peminat.

Tempoh pandemik Covid-19 yang menimpa seluruh dunia sejak tahun lalu menjadi pembuka mata buatnya. Terperuk lama di rumah memberikan banyak masa untuknya meneroka lebih jauh pasaran muzik sekarang.

Menurut Rendy, dia benar-benar terkesan dengan kehadiran artis baharu yang baginya bagus-bagus belaka. Sekali gus, dia berazam untuk melangkah lebih jauh dalam corak penghasilan karyanya.

"Sepanjang tempoh pandemik, saya banyak mendengar lagu daripada artis baharu. Sememangnya karya yang mereka hasilkan cukup bagus sehingga mencetuskan semangat buat saya.

MELANCARKAN EP baharunya berjudul See You Someday, baru-baru ini.
MELANCARKAN EP baharunya berjudul See You Someday, baru-baru ini.

"Saya berasa lebih bersungguh-sungguh untuk memantapkan lagi diri bagi menjadi artis yang lebih baik. Saya berazam untuk tingkatkan lagi usaha dalam memastikan lagu dihasilkan mampu sehebat karya mereka," katanya.

Kreativiti idea terbatas

Sebagaimana anak seni lain, Rendy akui terkesan juga dengan situasi pandemik yang berlaku sehingga sekarang. Sebagai pengkarya, dia berterusan mencari idea daripada persekitaran.

Namun dek kekangan pergerakan keluar mengehadkannya untuk berbuat demikian. Sekali gus, sedikit sebanyak ia mempengaruhi kelancaran proses kreativiti untuk menjana idea baharu.

"Selama ini, saya sangat gemar untuk menjadikan cerita persekitaran sebagai idea menulis lagu. Saya suka berjumpa rakan-rakan, mendengar cerita mereka, sekali gus tercetus idea daripada sana untuk membuat lagu.

"Apakan daya, tempoh pandemik ini membataskan saya berbuat demikian. Jadi, kelancaran proses kreativiti itu agak terganggu sedikit daripada aspek berkenaan.

"Tapi, saya bersyukur kerana daripada segi mental, saya sangat okay. Tiada apa pun kesusahan besar yang mengganggu fikiran selain segala urusan memang terjaga baik," katanya.

Dalam pada itu, Rendy turut seronok apabila pelancaran EP baharunya itu mendapat maklum balas memberangsangkan. Apalagi dia sendiri sebelum ini, memutuskan untuk berehat seketika daripada aktiviti seni sebelum muncul kembali.

"Rata-rata peminat seronok menikmati dan suka lagu dalam EP itu. Semestinya saya lega kerana sebelum ini saya berdiam seketika dan menyuruh mereka bersabar menanti kemunculan saya semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 6:20 AM