SCOTT pikat jutaan peminat dengan suara merdunya mengalunkan lagu yang menyentuh hati.
SCOTT pikat jutaan peminat dengan suara merdunya mengalunkan lagu yang menyentuh hati.
Georgie Joseph


SETIAP penyanyi memiliki cara tersendiri untuk menyentuh hati dan perasaan pendengar menerusi muzik mereka. Ada penyanyi versatil tampil dengan pelbagai genre muzik dan ada juga selesa dengan cara yang sebati dengan jiwanya.

Demikian juga Calum Scott, 32, yang memikat hati jutaan peminat dengan suara merdunya mengalunkan lagu sedih. Vokalnya dalam nyanyian lagu sebegitu cukup menusuk hati dan sempurna.

Tampil dengan lagu baharunya berjudul Biblical selepas lama dinanti peminat, sekali lagi dia memilih genre balada. Melodi serta corak nyanyian lagu ciptaannya bersama Corey Sanders, James Bay, Jon Maguire dan Jon Green itu ternyata begitu mendayu.

Menerusi temu bual bersama RAP, Scott mengakui dia tidak kisah jika dilabel 'raja sedih'. Ini kerana lagu terdahulunya pun rata-rata berkonsepkan balada sedih.

"Saya tak tahu, tapi lagu menusuk hati dan sedih sebegitu sangat sesuai sebagai 'makanan' saya. Kuasa lagu itu lebih terasa untuk sampai ke dalam hati pendengar untuk saya.

"Bagi saya, lagu berentak sedih tidak semestinya hanya memaparkan emosi sedih semata-mata. Sebenarnya lagu balada pun boleh diungkapkan dengan nada yang bahagia, gembira, mahupun senang hati.

"Apapun, saya akui jiwa saya lebih kepada alunan sebegitu dalam setiap lagu saya setakat ini. Ikutkan saya, pernah juga mencuba lagu berentak lain sebelum ini, tapi kalau digelar 'raja sedih', saya terima sahaja," katanya.

Sebagaimana impak You're The Reason, kekuatan melodi dan lirik Biblical juga ternyata begitu ketara. Terutama pada setiap ungkapan bait liriknya, boleh dirasa emosi mendalam dalam nyanyian Scott.

Tidak hairan dia menunggu bertahun juga untuk kembali dengan karya yang benar-benar menjadi itu. Demikian juga penantian peminatnya pasti berbaloi, apatah lagi dia tidak lari daripada hala tuju identiti muziknya.

KEMATANGAN vokal Scott jelas lebih terasa dalam lagu baharunya.
KEMATANGAN vokal Scott jelas lebih terasa dalam lagu baharunya.

Scott sendiri mengakui dia sangat berpuas hati dengan lagu berkenaan yang dianggapkan antara karya terbaik pernah dihasilkan. Menurutnya, proses penghasilannya juga ada transisi tersendiri yang cukup kuat.

"Biblical adalah sebuah karya yang bagi saya sangat istimewa kerana memberikan transisi besar dalam diri saya sebagai penyanyi. Bukan setakat kekuatan karya itu sendiri, bahkan dalam penyampaian saya juga.

"Semakin lama dalam karier muzik, saya dapat berasakan kematangan dalam nyanyian saya. Untuk Biblical sendiri, kematangan itu jelas terlihat pada cara alunan vokal saya yang lebih padu penjiwaannya.

"Semestinya saya sangat gembira dengan perkembangan itu memandangkan amat penting buat saya tunjukkan peningkatan diri. Demikian juga, keinginan peribadi saya untuk terus majukan diri sebagai penghibur yang bermutu," katanya.

Bercerita lanjut mengenai Biblical, Scott mengakui karya itu juga menyentuh kisah cinta, tapi lebih agung. Baginya, setiap orang ada cara menzahirkan cinta pada tahap yang mereka benar-benar mahukan.

Justeru, Scott salurkan ungkapan itu dalam bait lagunya untuk didalami dan dirasai pendengar sendiri. Dia berharap lagu terbabit bakal mencetuskan rasa cinta yang tersendiri dalam hati pendengar.

"Apabila bercerita mengenai cinta, ada kala kita tidak dapat menzahirkan hal itu dengan nyata. Tidak kisah dalam hubungan cinta bagaimanapun, baik kekasih, keluarga, sahabat dan sebagainya.

"Tapi, saya sendiri percaya betapa besarnya kuasa cinta ini mampu mempengaruhi hidup seseorang. Itulah apa saya mahu gambarkan dalam lagu ini, biar semua yang mendengarkan bertemu takrifan cinta dalam hati mereka," katanya.

Syukur terus terima sokongan

Pandemik Covid-19 juga semestinya memberi kesan buat Scott dari pelbagai aspek. Menurutnya, dia tidak terkecuali berdepan situasi yang mana dirinya dicabar dari segi emosi dan mental.

Bagaimanapun, dia sangat bersyukur apabila dapat menguatkan semangatnya di saat berdepan dugaan sekarang. Paling dia bersyukur semestinya, apabila masih diberi kesempatan untuk terus bernafas.

SCOTT tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Biblical.
SCOTT tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul Biblical.

"Saya ada diduga dengan perasaan yang sangat sedih dan tertekan apabila terpaksa berkurung sendirian. Ia membuatkan saya mengalami kekacauan emosi yang sukar untuk difahami ketika itu.

"Mujur sahaja saya teringat kepada orang tersayang yang sentiasa ada di sisi memberikan sokongan. Ia termasuk peminat yang tidak lekang dengan mesej indah untuk menyokong saya," katanya.

Dalam pada itu, Scott juga mengakui dia sebenarnya agak risau untuk keluarkan lagu baharu selepas lama tidak berbuat demikian. Baginya, dia sentiasa dihantui perasaan sebegitu kerana tidak pasti dengan penerimaannya kelak.

"Bukan saya sahaja, rasanya ramai penyanyi yang sentiasa merasakan hal itu. Perasaan ini agak menakutkan kerana kita tidak pasti sama ada apa yang kita cuba berikan sudah terbaik atau sebaliknya.

"Apapun, itu resamnya yang perlu saya terima kerana pada pengakhirannya, saya tahu diri sudah beri yang terbaik. Sebenarnya, bagus juga ada perasaan itu untuk menandakan kita memang sangat ambil berat mengenai karya kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 6:00 AM