TURUT berdepan kenangan pahit ketika pandemik Covid-19.
TURUT berdepan kenangan pahit ketika pandemik Covid-19.
Georgie Joseph


SELEPAS melancarkan lagu berjudul Ikatan Kita pada Jun lalu, anggota Bahiyya Haneesa, Wafa merancakkan lagi karier solonya dengan mempertaruhkan lagu baharu berjudul Waktu.

Wafa atau nama sebenarnya Nur Wafa Amira Hisamudin menyifatkan lagu itu cukup peribadi buatnya di mana ia memiliki kaitan dengan beberapa fasa dilalui dalam hidup kebelakangan ini.

Katanya, Waktu adalah karya memperingati serta menghargai bibit-bibit memori itu sebagai kenangan terindah dalam perjalanan hidupnya walaupun impaknya ternyata mendalam.

"Waktu menjadi medium untuk saya mengekspresikan perasaan menerusi nyanyian kepada pendengar. Ia hasil kerjasama bersama rakan pemuzik, Khair Hisham yang menulis liriknya.

"Saya sentiasa ingin menjadi penyanyi yang mampu menghibur dengan menzahirkan penceritaan melalui nyanyian. Saya yakin karya yang saya pertaruhkan mampu merentasi pelbagai lapisan umur masyarakat," katanya.

Masih mempertaruhkan genre balada seperti Ikatan Kita sebelum ini, susunan muzik dan liriknya disuntik lebih moden.

Menurutnya, ia antara strategi penting dalam usaha memenangi hati pendengar.

"Setiap insan pasti melalui warna-warni dan pahit manis bersama orang tersayang. Waktu ditulis dengan cukup mendalam bagi menyentuh pendengar dan menyampaikan mesej supaya menghargai detik-detik begitu.

"Inspirasinya hadir daripada penghayatan emosi saya ketika kita dilanda fasa pandemik Covid-19 yang semestinya meninggalkan memori pahit buat seluruh rakyat Malaysia," katanya.

WAFA ingin sentuh hati pendengar dengan lagu baharunya, Waktu.
WAFA ingin sentuh hati pendengar dengan lagu baharunya, Waktu.

Titik permulaan penghasilan Waktu tercetus apabila Wafa mengikuti kisah tular di media sosial yang menceritakan pahitnya perasaan kehilangan ahli keluarga serta orang tersayang.

Dia berusaha mendalami kisah yang berlaku ketika negara melalui fasa terbabit. Lantas, dia melahirkan rasa ingin berkongsi emosi serta pengalaman yang turut dilalui dirinya.

Menurutnya, semua pendengar perlu percaya akan ada sinar hadir menyusul selepas berdepan setiap dugaan hidup. Baginya, setiap kesulitan itu pasti ada hikmahnya.

"Saya juga ingin cuba mendekati pendengar dengan menterjemahkan monolog diri bahawa masa bersama orang tersayang adalah sebuah memori yang perlu dihargai. Setiap kenangan indah perlukan dinikmati dan dihayati.

"Kenangan pahit pula perlu dihadapi sebahagian dari roda kehidupan yang pasti akan ada hikmah di sebaliknya. Setiap kita pasti akan bertemu sinar di hujung terowong," katanya.

Wafa adalah graduan dalam bidang muzik dengan mengambil jurusan klasikal vokal di Universiti Malaya. Dia turut bergiat aktif menyertai pertandingan nyanyian pelbagai genre termasuk balada, Melayu asli, nasyid dan dikir barat.

Pada 2016, dia menyertai kumpulan acapella Bahiyya Haneesa bersama rakan-rakan satu universiti. Dia turut muncul dalam program TV I Can See Your Voice Malaysia selain video nyanyian Hero (Mariah Carey) bersama kembarnya jadi tular.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 6:35 AM