Siti Rohana Idris

Tumpat: Dua mangsa jatuh bot di Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan Hulu, di disini, petang kelmarin ditemukan lemas, selepas hilang hampir tiga hari.

Kedua-dua mangsa, Amrullah Fitri Afendi, 10, ditemukan 8.15 pagi tadi dalam jarak 900 meter (m) dari pusat kawalan tempat kejadian (PKTK), manakala bapa saudaranya, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, pula ditemukan bawah jambatan Sultan Yahya Petra, tidak jauh dari mangsa pertama dijumpai.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, jasad kedua-dua mangsa ditemukan terapung.

"Mayat kanak-kanak lelaki ditemukan di tebing sungai, manakala bapa saudaranya pula di tengah sungai iaitu bawah jambatan dengan jarak kira-kira 1.1 kilometer dari PKTK.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan misi mencari dan menyelamat ditamatkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

ANGGOTA polis bersama bomba mengusung mangsa lemas, Amrullah Fitri dan Wan Muhamad Najmi yang ditemui di bawah Jambatan Sultan Yahya selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan Hulu.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA polis bersama bomba mengusung mangsa lemas, Amrullah Fitri dan Wan Muhamad Najmi yang ditemui di bawah Jambatan Sultan Yahya selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan Hulu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sementara itu, bapa Amrullah, Afendi Ismail, 43, bersyukur atas penemuan anak lelaki dan adik iparnya itu selepas tiga hari hilang di sungai.

Afendi, 43, berkata, sejak kehilangan kedua-dua ahli keluarganya itu, solat hajat tidak henti diadakan sama ada membabitkan keluarga, penduduk kampung atau sekolah anaknya itu.

"Laungan azan juga sentiasa dibuat di tebing sungai dengan harapan Abang Ngah (Amrullah) dan Najmi ditemukan walau dalam apa jua keadaan.

"Kami reda menerima takdir ini, walau ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa, sekurang-kurangnya mereka berdua ada pusara," katanya.

Dalam kejadian 6.45 petang kelmarin, enjin bot dinaiki suami isteri, Nor Awadah Sulong, 30, dan Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, anak perempuan mereka, Wan Nur Ameena Wan Muhamad Najmi, 14 bulan serta anak saudara, Amrullah Fitri Afendi, 10, tiba-tiba mati, menyebabkan tiga daripada mereka terpelanting dan terjatuh ke dalam sungai.

Nor Awadah ditemukan lemas, anak perempuannya selamat, manakala dua lagi mangsa sebelum ini hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 11:13 AM