Lee Zii Jia muncul juara Seluruh England. FOTO AFP
Lee Zii Jia muncul juara Seluruh England. FOTO AFP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kemenangan jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia sebagai juara Seluruh England semalam menjadi petanda bahawa beliau mampu menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia dan taruhan kepada negara.

Malah Zii Jia juga mampu menjadi sandaran utama buat negara meraih pingat emas Sukan Olimpik akan datang di Tokyo, Jepun.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, paling penting pada ketika ini ialah Zii Jia perlu mengekalkan dan memastikan prestasinya sentiasa konsisten, menjaga kecergasan dan mengelak kecederaan.

Katanya, masih terlalu awal bagi menganggap Zii Jia berada pada laluan tepat bagi memenangi Sukan Olimpik, tetapi dengan persiapan itu, Zii Jia boleh menjadi sandaran utama negara selain atlet terjun dan berbasikal.

"Secara peribadi kita melihat prestasi Zii Jia sedang meningkat naik dan seperkara yang diperhatikan terhadap Zii Jia adalah kebangkitan pemain berkenaan sukar dihentikan (unstoppable) apabila berada pada kemuncaknya.

"Kita harap prestasi itu dapat membawanya sehingga ke tahap semasa dia beraksi di Sukan Olimpik nanti," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, Zii Jia merangkul gelaran Seluruh England buat kali pertama selepas menewaskan Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai AS$59,500 (RM244,344).

Pemain berusia 23 tahun yang juga anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu pernah tewas kepada Axelsen ketika aksi separuh akhir edisi tahun lalu.

Kejayaan Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia itu menamatkan penantian selama empat tahun Malaysia bagi muncul juara perseorangan lelaki selepas kali terakhir dilakukan Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Mengulas lanjut Reezal Merican berkata prestasi yang ditunjukkan Zii Jia sepanjang kejohanan Seluruh England minggu lalu juga amat mengagumkan sekali gus memberi isyarat kepada pemain badminton dunia lain berkenaan kewujudannya.

Selain mendapat liputan meluas di peringkat antarabangsa, Reezal Merican turut menyifatkan kemenangan Zii Jia membuka mata dunia berikutan menjadi pemain yang bakal menempatkan diri lebih tinggi di persada antarabangsa.

lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 6:29 PM