NUR Hidayah mempamerkan tulisan “Rehat Solat Maghrib” sebagai tanda mematuhi Arahan memberhentikan seketika operasi perniagaan pasar malam pada waktu solat Maghrib di seluruh Kedah. FOTO Wan Nabil Nasir
NUR Hidayah mempamerkan tulisan “Rehat Solat Maghrib” sebagai tanda mematuhi Arahan memberhentikan seketika operasi perniagaan pasar malam pada waktu solat Maghrib di seluruh Kedah. FOTO Wan Nabil Nasir
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Arahan memberhentikan perniagaan untuk tempoh seketika pada waktu solat Maghrib yang berkuat kuasa semalam disambut baik di kalangan peniaga pasar malam di negeri ini.

Tinjauan Harian Metro di pasar malam perkarangan Stadium Darul Aman, di sini, mendapati peniaga akur dengan menghentikan aktiviti jual beli ketika azan Maghrib.

Penolong Setiausaha Sekretariat Penjaja dan Peniaga Kecil Kedah, Wan Muhammad Wan Ali berkata, peniaga tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian berikutan aktiviti jual beli lazimnya rancak pada sebelah petang.

"Kami tiada masalah untuk patuh kepada arahan kerajaan negeri, perkara yang baik untuk orang Islam kita sokong. Apabila ada arahan ini, peniaga tidak lagi perlu tergesa-gesa dan dapat solat dengan tenang.

"Saya yakin ia tidak memberi kesan ketara terhadap jualan, lagipun kami berhenti solat paling lama setengah jam saja, selepas itu kira-kira 8 malam kami akan sambung semula berniaga," katanya.

Wan Muhammad bagaimanapun melahirkan rasa kurang senang kerana kerajaan negeri tidak memberi maklumat lanjut atau sebarang risalah kepada peniaga berhubung arahan itu.

Katanya, mereka hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial dan tidak pasti sama ada arahan berkenaan benar atau sebaliknya.

Peniaga pekasam, Nur Hidayah Yusri, 21, berkata dia tidak kisah dengan arahan itu kerana yakin ia tidak akan menjejaskan perniagaan mereka.

"Sebelum ini, saya dan rakan-rakan peniaga di sini akan bergilir-gilir pergi solat dan jaga gerai, tapi sekarang kami boleh solat dengan lebih tenang.

"Cuma kami perlu keluarkan sedikit modal untuk tempah papan tanda 'tutup sementara untuk solat' untuk makluman pelanggan," katanya.

Sementara itu, Hasli Hashim, 42, berkata dia sangat berharap kerajaan negeri dapat memberi lebih banyak peluang kepada peniaga kecil untuk meningkatkan pendapatan.

"Kami harap kerajaan akan bantu peniaga kecil kerana kuasa beli sudah tak macam dulu, pasar malam pun pelanggan tak ramai, ramai juga yang ambil keputusan berhenti berniaga untuk elak kerugian," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan semua penjaja pasar malam di negeri ini diarahkan untuk memberhentikan operasi perniagaan seketika bagi menghormati waktu solat Maghrib bermula semalam (1 Mei 2024).

Tempoh 'rehat' itu bermula lima minit sebelum masuk waktu dan 10 minit selepas masuk waktu solat Maghrib.

Penguatkuasaan itu selaras keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) yang bermesyuarat pada 21 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 1:09 PM