RENCANA perjalanan hidup dengan fokus empayar perniagaan.
RENCANA perjalanan hidup dengan fokus empayar perniagaan.
Sudirman Mohd Tahir


SUATU ketika dahulu namanya berada di kemuncak populariti apabila membintangi banyak filem dan drama tempatan.

Selepas berkahwin dengan pelakon, Aeril Zafrel, Wawa, 29, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin mengambil keputusan untuk memperlahankan kerjaya seni.

Sejak itu, Wawa mula merencana perjalanan baharu dengan berjinak-jinak dalam bidang perniagaan yang sebelum ini cukup asing buat dirinya.

Bermula dengan pakaian dan tudung, Wawa kini mampu memanjatkan kesyukuran apabila empayar pernigaan menerusi jenama Wawa Cosmetics menjadi antara pilihan utama wanita di seluruh Malaysia.

Selepas tiga tahun bertapak menerusi pelbagai rangkaian kosmetik yang dilancarkan dengan menyaksikan 5,000 peniaga aktif yang menjual produk itu, Wawa mengakui apa yang dilalui ketika ini adalah rezeki daripada Allah SWT selain usaha dan kerja keras dibuat bersama suami dan pasukan.

"Bagi saya, kalau bercakap mengenai rahsia kejayaan adalah fokus. Macam saya, setahun sekali berlakon. Kadang tidak ada. Jadi, selebihnya saya habiskan masa di pejabat, jumpa pasukan dan fikir bahan. Kalau contoh boleh ke luar negara, saya dan suami memang akan ke luar negara bagi mencari bahan baharu untuk buat perniagaan.

"Dalam masa sama, kami banyak guru. Proses pembelajaran tak pernah berhenti. Apabila ada guru ia lebih mudah perjalanan itu. Tak perlu main langar tembok. Jadi, guru yang sudah ada pengalaman uruskan masalah, kalau tanya mereka macam mana nak kawal atau uruskan. Mereka ada solusi. Apabila banyak guru, memudahkan dan percepatkan kita untuk meningkat dan menambah baik lagi kekurangan," katanya.

WAWA menerima kejutan hari jadi berupa hadiah kereta mewah.
WAWA menerima kejutan hari jadi berupa hadiah kereta mewah.

Satu kejayaan buat Wawa dan suami juga apabila memiiki wisma sendiri bagi memudahkan segala operasi perniagaan dijalankan.

Ditanya apa pula sasaran kali ini, Wawa berkata, mahu memberi fokus kepada bahagian penting dalam perniagaan.

"Kali ini tidak tahu sebab belum rancang lagi. Sekarang ini kami cari rezeki dan berkongsi rezeki dengan orang lain, tapi tidak sampai terfikir harta apa lagi yang mahu dikumpul.

"Cuma lebih kepada nak bantu orang. Kalau ada lebih lagi, mungkin nak buat pemasaran atau produk baharu yang lebih gempak.

BERSAMA penerima Top 1 pada majlis Top Achivers & Gala Dinner Award.
BERSAMA penerima Top 1 pada majlis Top Achivers & Gala Dinner Award.

"Alhamdulillah sepanjang tempoh tiga tahun ini, kami sudah ada bangunan sendiri dan perkara lain. Cuma nak kuatkan lagi pemasaran. Sebab bahagian ini tak boleh putus dan berhenti. Kalau tahun ini dengan cara sebegini, tahun depan kena gandakan pula. Sebab jualan pun kita nak meningkat pada setiap tahun," katanya yang bakal melancarkan edisi 'gift' pada 27 Mac ini.

Persekolahan anak-anak

Selepas kerajaan mengumumkan pembukaan semula

sekolah, Wawa dan suami tidak terlepas untuk menghantar semula anak mereka ke sekolah iaitu Ahmad Fakharuddin Attar, 8, dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa, 6.

Biarpun jauh di sudut hati wujud kerisauan ekoran wabak Covid-19 belum berakhir, persekolahan tetap perlu diteruskan.

"Nak kata risau pun, masalah ini tak pernah habis. Saya percaya di sekolah kena jaga SOP. Tapi, risau tetap risau dalam masa sama kena hantar ke sekolah juga. Kalau tidak nanti mereka tertinggal pelajaran," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wawa dan Aeril bakal muncul dalam filem Sabda Kekasih yang menemui penonton di saluran Astro First pada sambutan hari raya ini.

Menariknya, filem itu adalah terbitan syarikat produksi mereka iaitu Respected.

WAWA bersama suami dan anak-anak.
WAWA bersama suami dan anak-anak.

"Syukur apabila kami dapat tayangan di Astro First pada Syawal ini. Ketika ingin menerbitkan filem ini memang tidak tahu pun nak jual atau tayang di mana. Kami main buat saja. Selepas sudah siap baharu tunjuk pada mereka. Alhamdulillah, mereka suka.

"Insya-Allah, selepas ini ada perancangan lain juga nak buat drama dengan Astro. Penerbitan ini bukan lebih kepada perniagaan. Ia lebih kepada nak kekalkan nama dalam industri. Sebab kami pun bermula dalam bidang ini, jadi tak boleh tinggalkan terus," katanya

.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 7:00 AM