SYAFIQ dan Wawa teruja merakamkan semula lagu Buat Insan Tersayang.
SYAFIQ dan Wawa teruja merakamkan semula lagu Buat Insan Tersayang.
Sudirman Mohd Tahir


MENJADI trend industri muzik tempatan ketika ini apabila lagu malar segar era 1990-an dirakam semula dengan susunan muzik terkini dan dinyanyikan penyanyi baharu.

Ternyata rakaman semula lagu lama mendapat sambutan hebat pendengar kini dan menjadi siulan golongan generasi baharu seperti Mahligaimu Dari Airmataku, Mengintai Dari Tirai Kamar, Tragedi Cinta, Resah Kerinduan dan Dalam Diam Aku Mencintaimu.

Terbaharu, syarikat rakaman Nova Music tidak ketinggalan untuk merakam semula lagu yang pernah popular suatu ketika dahulu iaitu lagu Buat Insan Tersayang yang pernah dipopularkan oleh Ashira dan Eddie Hamid.

Lagu ciptaan Eddie Hamid yang dikeluarkan pada 2000 itu dirakam semula penyanyi muda, Ahmad Syafiq dan pendatang baharu, Wawa Shazwa.

Ahmad Syafiq, 22, juga naib juara program Lagu Cinta Kita musim kedua berkata, dia pada awalnya terkejut apabila mendapat tawaran untuk merakamkan semula lagu Buat Insan Tersayang itu.

Menurut Syafiq, dia tidak biasa mendengar lagu itu walaupun mengetahui sejarah lagu terbabit yang pernah mencipta populariti satu ketika dulu.

"Saya pada mulanya rasa terkejut dan takut sebab genre lagu ini berbeza sangat dengan lagu yang saya rakam sebelum ini. Lagu ini macam ada lenggok dangdut sikit, tapi ia sebenarnya lagu balada dan sedih. Melalui versi terbaharu ini, kami beri nafas baharu dengan susunan yang lagi rancak tapi ia masih lagu sedih.

"Pada masa sama, saya berasa beruntung dipilih oleh Abang Eddie Hamid sebab lagu ini dulu dikeluarkan pada 2000, tahun kelahiran saya sendiri.

"Sejak kecil saya jarang sangat mendengar lagu ini walaupun saya tahu kewujudannya. Saya tak pernah ambil tahu lagu ini dan tahun itu saya baru lahir. Jadi, apabila diberi tugas dan peluang untuk menyanyikan semula lagu ini, saya rasa teruja. Lagu ini pula kena dengan saya yang berjiwa jiwang," katanya.

Mengenai trend merakamkan semula lagu lama, Syafiq tidak menolak ia sesuatu yang berleluasa sekarang dan secara tak langsung mampu menonjolkan lagi namanya di persada muzik tanah air.

"Lagu lama dijadikan single baharu sekarang ini memang sangat 'trending'. Ia menjadi seakan-akan satu 'ombak' dalam industri seni nyanyian ini. Boleh dikatakan ramai artis baharu seperti Fieya Julia, Luqman Faiz, Amsyar Lee, Afieq Shazwan dan Tajul sudah buat. Tidak dinafikan, nama mereka semakin popular selepas menyanyikan semula lagu lama berkenaan.

WAWA harap gandingan dengan Syafiq dapat diterima baik.
WAWA harap gandingan dengan Syafiq dapat diterima baik.

"Bagi rakaman semula lagu Buat Insan Tersayang ini saya anggap kalau ada rezeki adalah, kalau tak ada, tak adalah. Cuma lagu ini dia agak ringan sikit dan 'feel' tak berat macam dulu. Video muzik pula bertemakan ala filem Bollywood," katanya.

Berkongsi mengenai gandingannya dengan Wawa Shazwa, Syafiq mengakui timbul sedikit kesukaran pada awalnya kerana perbezaan vokal antara mereka.

"Saya dapat bergandingan dengan seorang penyanyi baharu yang juga artis baharu Nova Music iaitu Wawa Shazwa daripada kumpulan Darul Aman Buskers. Dia pernah tular di YouTube, jadi rasa terkejut dan takut sebenarnya kali pertama digandingkan dengan dia. Apa-apa pun, saya sudah buat yang terbaik untuk sampaikan lagu ini bersamanya.

"Cuma, pada mulanya kami menghadapi sedikit kesukaran untuk menyanyikan lagu ini bersama sebenarnya. Sebab ada perbezaan antara vokal saya dengan Wawa. Vokal Wawa apabila makin tinggi makin halus suaranya dan saya jenis vokal yang lebih lantang. Jadi nak menyeimbangkan vokal kami ambil masa juga.

"Wawa pandai menggunakan kelebihan yang ada pada suaranya. Dia ada keunikan suara, kalau nyanyi lagu yang ada lenggok-lenggok sebegini memang 'makanan' Wawa sebenarnya. Saya pula kena haluskan sedikit suara supaya tak menjadi macam bapak dengan anak menyanyi. Dari situ, baru nampak macam pasangan kekasih yang menyanyi. Sukar jugalah untuk sesi rakaman lagu ini," katanya.

Sementara itu, Wawa, 22, atau nama sebenarnya Nor Shazwa Atiqah Shamshul meluahkan rasa bertuah apabila dipilih merakamkan semula lagu Buat Insan Tersayang.

"Perasaan saya apabila dapat lagu lama yang dikeluarkan pada 2000 iaitu tahun kelahiran saya dan dipilih untuk menyanyikan lagu ini sudah tentu berasa bertuah. Ia disebabkan generasi sekarang dan saya sendiri pun tak pernah tahu lagu lama macam itu.

"Saya rasa bangga sebab dipilih untuk menyanyikan dan menaikkan semula lagu zaman dulu. Tapi sejujurnya saya tak biasa dengar lagu ini sebab lagu yang lama-lama memang jarang saya dengar. Jadi apabila dapat nyanyi semula lagu ini barulah saya tahu mengenai lagu ini. Rupanya lagu ini seronok, kata-kata dan liriknya sangat menarik," katanya.

Menjadi pengalaman pertamanya merakamkan lagu di studio, Wawa berharap kemunculannya bersama Syafiq dapat diterima baik.

"Walaupun ini sekadar lagu rakaman semula, tapi ia memberikan pengalaman baharu buat saya. Ia sangat berharga dan memberikan banyak ilmu baharu dalam diri. Ternyata ia bukan semudah disangka. Banyak lagi yang perlu saya pelajari jika mahu terus mengorak langkah dalam bidang seni ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 6:45 AM