Syafil Syazwan Jefri

NAMA Tuju K-Clique bukan lagi asing dan semakin hari semakin meningkat naik dalam industri muzik hip hop.

Pernah terpalit beberapa kontroversi sebelum ini, Tuju menuangkan jiwanya yang suatu ketika dahulu bercelaru ke dalam karya solo berjudul Jiwa Pusing.

Umpama satu memoir, Jiwa Pusing menjadi ruang untuknya berkongsi kisah perjalanan hidupnya sebelum menempa nama dalam industri muzik tanah air.

"Dulu, saya tak nampak masa depan dan arah tuju saya. Jiwa saya pusing. Apabila nampak gelap, saya hilang arah dan pelbagai persoalan bermain dalam fikiran.

"Antaranya adakah saya dapat membantu ibu bapa memandangkan mereka semakin meningkat usia?," katanya.

Berkongsi mengenai masa lalunya, Tuju atau nama sebenarnya Muhammad Azree Shah Awang Zamri membuat keputusan untuk keluar dari zon selesa dan berhijrah ke Kuala Lumpur.

"Pertama kali berhijrah ke Kuala Lumpur, saya tak beritahu ibu bapa dan tak ada duit pun ketika itu. Berseorangan saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan keluar dari zon selesa di Kota Kinabalu, Sabah.

"Saya sayangkan keluarga saya, tapi pada masa sama apa juga yang terjadi, saya kena lakukan sesuatu untuk mengubah nasib keluarga," katanya.

Menurutnya, taraf pendidikannya yang hanya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menambah kegusarannya untuk mengubah nasib keluarga.

KERJAYA solo dan berkumpulan biar seiring.
KERJAYA solo dan berkumpulan biar seiring.

"Saya hanya ada SPM dan apa saya nak buat dengan taraf pendidikan saya itu? Jadi, saya nekad dan berhijrah juga walaupun kadang-kadang saya menangis pada waktu malam.

"Alhamdulillah, sekarang kehidupan sudah banyak berubah dan berada di tempat saya berada sekarang. Semuanya umpama mimpi yang menjadi kenyataan," katanya.

Menurut anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu ini lagi, dia kini menjadi manusia yang lebih banyak bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan kepadanya.

"Sekarang, setiap hari saya bersyukur dan saya mahu terus menjadi manusia yang lebih baik. Nak puaskan hati semua orang, tak boleh. Jadi, saya puaskan hati sendiri," katanya.

Bergelar bapa kepada dua cahaya mata pada usia 25 tahun juga menjadikan suami kepada penyanyi rap Loca B itu semakin matang menjalani kehidupan.

"Saya kena cepat belajar dan membangun dalam kehidupan. Saya juga perlu menjadi contoh buat mereka," katanya.

Katanya, dia inginkan kehidupan yang sederhana dan tidak bergantung kepada kekayaan harta semata-mata.

"Doa saya adalah agar sentiasa sihat dari segi mental dan fizikal. Saya nak main bola sepak dengan anak dan berkarya. Saya tak nak kaya-raya. Dapat hidup secara sederhana pun sudah mencukupi. Kalau ada rezeki lebih, itu daripada Allah," katanya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai single Jiwa Pusing, Tuju mengambil masa dua tahun sebelum membuat keputusan melancarkannya.

"Saya hasilkan lagu ini pada 2019 dan sekarang baru ada rezeki untuk saya lancarkan. Sebenarnya, ada kisah di sebalik penghasilan lagu ini.

"Lagu ini dicipta sebagai demo untuk seorang penyanyi rap popular Malaysia. Memang namanya cukup dikenali, namun sudah lama juga dia tak muncul dalam arus perdana.

"Saya buat beberapa demo dan dia memilih demo ini. Namun, atas beberapa sebab, projek bersamanya itu tidak dapat diteruskan dan bermula tahun lalu, saya buat keputusan untuk teruskan semula serta jadikan single solo," katanya.

Walaupun cabang kerjanya kini nampak semakin bertambah, itu tidak menjadikan Tuju alpa dengan pelbagai tanggungjawab yang dipegangnya sekali gus akan memastikan semuanya bergerak seiring.

"Saya ada banyak keutamaan iaitu untuk karier solo, bersama K-Clique dan Tuju-Loca. Ada banyak projek dan mengikut kesesuaian. Semuanya saya akan gerakkan secara serentak dan biar ia berkembang seiringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 6:00 AM