Sudirman Mohd Tahir


GENRE hip hop kembali menguasai industri hiburan tempatan. Malah, sepanjang tahun lalu banyak lagu dalam kategori ini menambat hati pencinta muzik tanah air.

Buktinya, menerusi pencalonan program Muzik Muzik 35 dan finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 lalu, lagu genre ini antara yang mendapat perhatian juri. Sekali gus melayakkan lagu Gila yang mempunyai elemen muzik hip hop dinobatkan sebagai Juara Lagu.

Melihatkan sambutan itu, tahun ini sahaja sudah banyak lagu bergenre ini dihasilkan bukan sahaja dalam kalangan rapper itu sendiri, tapi ada penyanyi yang memberanikan diri dengan memberikan sentuhan hip hop dalam lagu mereka iaitu berkolaborasi bersama rapper terkenal.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, genre hip hop berjaya mencuri perhatian generasi baharu apatah lagi, mengetengahkan muzik yang segar selain bait lirik atau baris kata yang sarat dengan maksud mendalam.

Makna kata, kuasa luar biasa yang ada pada muzik hip hop menjadikan sebahagian besar daripada rapper yang memperjuangkan genre ini bersatu dengan menunjukkan lagi kualiti persembahan mereka.

Terbaharu empat gandingan rapper terkenal masa kini, DJ Cza, Tuju, Loca dan MK, melancarkan single Veto yang diterbitkan Def Jam Recordings Malaysia.

Bagi DJ Cza, Tuju, Loca dan MK, setiap seorang daripada mereka terpaksa berhadapan pelbagai halangan untuk berada di tahap yang mereka kecapi sekarang.

Satu perkara yang membezakan perjuangan mereka adalah semangat kental yang menghalang mereka dari berputus asa. Ditanya apa makna Veto pada mereka, semua sepakat mengatakan ia membawa maksud 'kuasa'.

Menurut DJ Cza, sekiranya seseorang memberikan fokus untuk mencapai kejayaan dan matlamat, sesukar mana pun keadaan itu, tidak mustahil akan berjaya dihadapinya.

"Veto adalah lagu berunsur motivasi dan ritmanya membangkitkan semangat seolah-olah menciptakan sesuatu daripada kosong dengan cara berfikiran positif dan tidak menoleh ke belakang. Semangat kental ini ketara dalam lagu Veto sehinggalah irama muziknya," katanya.

Bagi Tuju atau nama sebenarnya Muhammad Azri Shah Awang Zamri pula, Veto diilhamkan dari lagu Dior oleh bekas bintang hip hop, Pop Smoke.

"Sebab itu anda akan mendengar gaya dan lenggok dari 'Brooklyn drill' dalam lagu ini.

"Kombinasi bass dan perkusi yang digabung dengan baik digarap dengan perisa Asia Tenggara menjadikannya satu karya penuh jiwa yang hebat dengan bunyi yang luar biasa," katanya.

Dalam masa sama, Tuju menyifatkan muzik hip hop dalam negara semakin diterima baik selepas melalui pelbagai fasa.

LOCA B buktikan walaupun bergelar isteri dan ibu, masih boleh kejar cita-cita iaitu menyanyi hip hop.
LOCA B buktikan walaupun bergelar isteri dan ibu, masih boleh kejar cita-cita iaitu menyanyi hip hop.

"Banyak sudah berlaku pada genre ini sejak kebelakangan ini. Perihal itu boleh dibuktikan dengan kejayaan yang diraih mereka yang membawakan muzik hip hop. Tidak boleh dinafikan bahawa genre ini tidak lagi boleh dipandang serong oleh segelintir pihak.

"Kita tidak boleh lupa, lagu hip hop ikonik negara, Alhamdulillah dendangan Too Phat masih kekal malar hijau di hati peminat. Saya bangga melihat rakan lain yang menyanyikan lagu hip hop dengan diberikan sentuhan rentak irama Malaysia atau Melayu klasik. Diakui perasaan saya sangat gembira.

"Kalau dahulu lagu rentak Irama Malaysia kian dilupakan, tetapi dengan adanya idea sebegini, peminat terutama generasi muda tidak akan melupakan khazanah muzik kita," katanya.

Seorang lagi pelantun lagu Veto, Loca B terus melangkah maju dengan membuktikan seorang wanita mampu bersaing dan setaraf dengan lelaki.

Masakan tidak, dengan kejayaan yang diraih di pentas AJL35 lalu, Loca atau nama sebenarnya Nabilah Hani Azali adalah penyanyi rap wanita pertama yang berjaya diangkat sebagai juara.

"Dulu orang fikir orang perempuan di Malaysia ini tak patut nyanyi hip hop. Tak manislah, tak boleh tandingi lelaki dan banyak lagi persepsi mereka. Saya cuma nak buktikan yang kita semua boleh buat apa yang kita nak buat.

"Lelaki atau perempuan, peluang kita sama rata. Lebih penting adalah usaha. Banyak atau sedikit, kejayaan pasti menunggu.

"Saya juga nak buktikan walaupun bergelar isteri dan ibu, saya masih boleh kejar cita-cita saya iaitu menyanyi hip hop. Kalau anak saya sudah besar nanti, saya nak mereka bangga dengan apa yang saya dah capai," katanya.

Sementara itu, MK yang dilihat paling menonjol dalam kumpulan K-Clique antara rapper yang kian menjadi rebutan.

MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin boleh dikatakan memiliki jumlah 'followers'

paling ramai di media sosial, paling digilai wanita dan bermacam hal lagi jika dibandingkan anggota lain.

Namun bagi MK, kecemerlangan individu adalah kecemerlangan secara berkumpulan.

"Noki berjaya di AJL, kita tepuk tangan, Tuju keluar lagu baharu kita semua ada di belakang memberikan sokongan. Itu akan kekal sebegitu sampai bila-bila.

"Kalau cakap mengenai kemanisan apa yang sudah dikecapi, memang tak terkata. Kami bekerja keras tapi, kita amat mementingkan hubungan persaudaraan.

"Jatuh bangun kita bersama dan saya percaya, itulah kunci untuk berjaya dalam hidup ini. Kemanisan takkan ada kalau tiada rasa pahit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 6:00 AM