Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan membenarkan jumlah penumpang berdasarkan kapasiti kenderaan dinaiki, mulai esok.

Selain itu, kerajaan membenarkan pelanggan untuk menikmati hidangan di restoran mengikut saiz atau kapasiti meja makan dengan syarat ada penjarakan fizikal 1 meter.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu untuk semua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

"Kita mendengar pandangan dan rayuan ramai supaya membenarkan jumlah penumpang mengikut tempat duduk kenderaan, maka mesyuarat teknikal hari ini bersetuju membenarkannya.

"Jumlah penumpang mengikut kapasiti kenderaan itu dibenarkan di semua kawasan termasuk di PKP," katanya pada sidang media, hari ini.


Ismail Sabri berkata, sebelum ini, makan di kedai kawasan PKP hanya dua orang satu meja dibenarkan manakala PKPB dan PKPP mengikut kapasiti meja makan.

Menurutnya, mesyuarat hari ini bersetuju semua kawasan dibenarkan makan di kedai berdasarkan keluasan meja makan mulai esok.

Bagaimanapun, katanya, ia mestilah mempunyai penjarakan fizikal satu meter antara pelanggan dan meja.

GAMBAR hiasan. FOTO FATHIL ASRI
GAMBAR hiasan. FOTO FATHIL ASRI

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 6:23 PM