Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kebenaran makan di restoran bermula hari ini disambut baik warga kota dan pengusaha restoran.

Tinjauan mendapati orang ramai mula memenuhi restoran khususnya ketika makan tengah hari dengan pematuhan dua orang semeja.

Pengusaha restoran pula mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan seperti mengehadkan jumlah pelanggan setiap meja, mengambil suhu dan mengimbas kod bar MySejahtera.

Pelanggan, Junaidi Ali, 43, berkata, kebenaran makan di restoran melegakannya kerana ia lebih selesa berbanding makanan berbungkus.

Menurutnya, sebelum ini dia terpaksa mencari tempat untuk makan makanan dibungkus dan ia sudah pasti menyukarkan banyak pihak.

"Saya harap kebenaran ini digunakan sebaik mungkin orang ramai dan jangan ada yang ambil kesempatan melepak," katanya.

Sementara itu, pengusaha restoran, Ayoob Khan Mohamed Yakub, ternyata lega dengan kebenaran diberikan kerajaan.

Pengunjung menikmati makanan ketika tinjauan pengunjung dibenarkan untuk makan di restoran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Brickfield, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pengunjung menikmati makanan ketika tinjauan pengunjung dibenarkan untuk makan di restoran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Brickfield, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Katanya, perniagaannya semakin nazak jika kebenaran makan di kedai tidak dibenarkan kerajaan.

"Walaupun beroperasi dengan makanan berbungkus saja, namun pendapatan terjejas teruk kerana tidak ramai pelanggan yang mahu makan cara sedemikian.

"Apabila boleh makan di restoran, ia melegakan saya dan berharap kerajaan boleh mempertimbangkan kapasiti pelanggan mengikut saiz meja.

"Selain itu, saya juga berharap waktu operasi dilanjutkan daripada 8 malam kepada 12 tengah malam," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran untuk makan di restoran terhad dua orang satu meja.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 2:35 PM