Isma Ismail dan Sri Kartika Ayu Amri


MEREKA yang menikmati juadah di kedai makan tidak perlu keliru berkaitan jumlah individu yang boleh berada di meja makan selagi penjarakan sosial dapat diamalkan.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ramai yang terkeliru dengan kenyataannya sebelum ini berkaitan jumlah individu yang boleh berada di meja makan.

Menurutnya, pihaknya memang tidak mengehadkan jumlah orang yang boleh berada di meja makan, tetapi mesti mengamalkan penjarakan sosial.

"Kita dengar sebelum ini, apabila kita hadkan empat orang berada di satu meja. Ada yang datang enam orang daripada satu keluarga dan juga dari rumah yang sama maka pengusaha restoran pecahkan kerana mematuhi peraturan.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

"Walaupun mereka satu keluarga, mungkin empat di satu meja dan dua lagi di satu lagi meja.

"Jadi, kita bersetuju kalau ada enam orang dan sebelum ini guna dua meja dan kini ia boleh disambung (dekatkan meja) untuk duduk bersama, tetapi yang penting penjarakan sosial," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, yang penting adalah penjarakan sosial satu meter mesti dikekalkan bukannya pengasingan meja dalam restoran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 4:55 PM