ANTARA kelengkapan anggota pasukan keselamatan yang boleh diperolehi dalam talian.
ANTARA kelengkapan anggota pasukan keselamatan yang boleh diperolehi dalam talian.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Hanya bermodalkan RM500, seseorang individu itu boleh menjadi anggota pasukan keselamatan 'celup' dengan mendapatkan pakaian seragam lengkap sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) atau Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Ini berikutan, pelbagai jenis pakaian dan aksesori pasukan keselamatan dikesan bukan saja boleh dibeli di kedai, malah boleh diperoleh dengan mudah melalui platform e-dagang atau laman sosial.

Kelengkapan lain boleh dibeli adalah jaket keselamatan, pangkat, lencana, logo, cota dan sebagainya untuk kelihatan seperti anggota keselamatan.

Situasi ini menyebabkan tidaklah terlalu sukar untuk menyamar sebagai pihak berkuasa dengan pakaian rasmi itu.

PANGKAT dan juga lencana APM yang dijual dalam talian.
PANGKAT dan juga lencana APM yang dijual dalam talian.

Ini menimbulkan persoalan bagaimana pakaian seragam yang dibekalkan di premis berdaftar boleh dijual sewenang-wenangnya pihak tidak bertanggungjawab.

Harian Metro menyiasat kegiatan itu di platform e-dagang dan membuat pembelian pakaian dan aksesori pasukan keselamatan dijual.

Melalui pembelian itu, tiada sebarang pengesahan untuk membuktikan pembeli adalah anggota pasukan keselamatan, sebaliknya perlu memilih jenis pakaian atau aksesori dikehendaki sebelum membuat bayaran semudah membeli barangan lain.

Selepas bayaran dibuat, barangan itu akan dihantar kepada pembeli menggunakan perkhidmatan penghantaran barangan.

Peniaga pula seolah-olah mengambil kesempatan dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mempromosi barangan berlogo PDRM, APM atau Rela untuk dijual.

Jika pembelian pakaian rasmi itu boleh dibuat secara dalam talian, bagaimana untuk memantau pembeli adalah anggota keselamatan sebenar atau penyamar?

Justeru, aktiviti itu dibimbangi akan disalahgunakan individu tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan atau melakukan jenayah.

Ia akan memudahkan penjenayah melakukan penyamaran menggunakan pakaian seragam untuk memeras ugut dan menyamun yang akhirnya memberi imej buruk kepada pasukan keselamatan terbabit.

'Henti segera jual secara dalam talian'

Penjualan pakaian seragam pasukan keselamatan secara dalam talian adalah menyalahi undang-undang.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius penjualan pakaian seragam pasukan itu yang boleh menjurus kepada salah guna dan mengundang perlakuan jenayah, penyamaran serta sebagainya.

"Kelengkapan pakaian seragam PDRM hanya boleh dijual kepada pegawai polis termasuk Sukarelawan Simpanan Polis, Polis Bantuan, Kor Sukarelawan Siswa Polis (SUKSIS) dan Kadet Polis dengan menunjukkan Kad Sijil Pelantikan.

"Jadi, kesahihan pegawai dan kad kuasa yang ditunjukkan secara dalam talian, tidak dapat dipastikan.

"Bagi pembelian di kedai, peniaga dikehendaki mencatat maklumat pembeli di dalam buku daftar penjualan. Pembeli dikehendaki menandatangani pembelian yang dibuat.

"Proses ini tidak dapat dilakukan sekiranya penjualan dalam talian dibuat," katanya kepada Harian Metro.

Ramli berkata, pemilikan kelengkapan dan peralatan pakaian seragam PDRM adalah tertakluk mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 (Akta 344) dan segala aktiviti penjualan perlu mematuhi undang-undang serta syarat ditetapkan.

Beliau berkata, sekiranya berlaku pelanggaran syarat, tindakan tegas akan diambil ke atas pelesen atau peniaga terbabit.

"Kami meminta peniaga menghentikan segera penjualan secara dalam talian dan membatalkan permit perniagaan.

"Kami akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 89 yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 94 akta sama iaitu denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Terhad untuk ahli berhormat, bersekutu APM

Penjualan pakaian dan aksesori bagi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) secara dalam talian hanya terhad bagi kelengkapan ahli berhormat dan bersekutu sahaja.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab berkata, bagi anggota tetap pula, pihaknya membekalkan peralatan itu kepada mereka.

"Kecuali jika kelengkapan seperti pangkat ditempah itu lambat diterima, mereka boleh dapatkan sendiri melalui pembekal dilantik.

"Setakat ini, kami tidak terima aduan atau laporan mengenai penjualan secara dalam talian," katanya.

Roslan berkata, beliau akan menyemak perkara itu dan sekiranya berlaku penjualan pakaian seragam dan aksesori APM tanpa kebenaran, tindakan lanjut akan diambil.

Katanya, perbuatan itu jelas mencemarkan imej pasukan keselamatan dan boleh mengundang perlakuan jenayah dan penyamaran.

"Setakat ini, belum ada kes penyamaran sebagai anggota APM. Tapi saya tidak menolak kemungkinan ia boleh berlaku jika tidak dibendung awal.

"Oleh itu, anggota atau sukarelawan APM diminta bertindak sebagai mata dan telinga jika ada penjualan tidak sah itu dengan melaporkan kepada pihak berkaitan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Yahya Sulaiman berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai aktiviti penjualan pakaian seragam dan aksesori pasukan itu secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 1:07 PM