ORANG awam mudah buat tempahan di kedai jahit.
ORANG awam mudah buat tempahan di kedai jahit.

Kuala Lumpur: Penjualan pakaian seragam anggota keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) secara berleluasa di beberapa kedai jahit di Sungai Besi, di sini, termasuk kepada orang awam satu kesalahan serius.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, seragam tentera dibuat kontraktor dilantik untuk membekalkan pakaian tentera seperti yang terdapat dalam kontrak.

“Perkara ini (penjualan sesuka hati) tidak sepatutnya berlaku. Saya akan arahkan pihak tentera membuat laporan polis mengenai hal itu termasuk kedai tukang jahit Bangladesh dikatakan turut menjual seragam tentera.

“Saya tegaskan sekali lagi, seragam tentera sudah diwartakan jadi ia kesalahan jika digunakan sesuka hati oleh mereka yang bukannya terdiri daripada pasukan keselamatan,” katanya.

Katanya, penjualan pakaian seragam tentera kepada orang awam dikhuatiri menjejaskan keselamatan negara.

Tindakan tegas yang sama turut dijanjikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa kerana penjualan pakaian seragam polis bersama pangkat secara terang terangan itu salah mengikut Akta Polis.

“Kita (Polis Kuala Lumpur) akan mengambil tindakan,” katanya.

Mengulas lanjut perkara berkenaan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, sememangnya menjadi kesalahan sekiranya menggunakan pangkat dan lambang PDRM.

“Jika pakaian seragam itu hampir sama dari segi warnanya bukanlah menjadi kesalahan. Tetapi, jika uniform itu lengkap dengan nama, tertera tulisan PDRM dan disertakan dengan pangkat itu sememangnya salah.

“Ini kerana penggunaannya boleh mendatangkan kekeliruan kepada orang awam. Lagipun pakaian seragam itu bukan boleh dijual beli sesuka hati.

“Tindakan boleh dikenakan kepada mereka yang menjualnya (pakaian seragam polis) mengikut Akta Polis. Pakaian itu hanya boleh dijual kepada pegawai dan anggota polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 10:11 AM