Satu ketika dulu pakaian seragam tentera atau polis boleh dibeli dengan mudah oleh sesiapa saja tanpa kawalan ketat.

Malah, perniagaan barangan terkawal ini juga ada yang dikendalikan oleh Mat Bangla seperti yang pernah didedahkan akhbar Harian Metro sebelum ini.

Bagaimanapun, selepas media dan beberapa pihak lain acap kali menyerang kelompangan berkaitan peraturan ini, isu berkenaan tidak lagi kedengaran.

Sehinggalah Selasa lalu apabila polis merampas sebuah kenderaan mirip trak pelancar roket tentera yang digunakan sebagai promosi menjual minuman kopi di Jalan Semarak Api, Cyberjaya.

Dalam kejadian itu, polis dari Balai Cyberjaya menjalankan tugas rondaan dan menerima maklumat orang awam mengatakan ada kenderaan trak pelancar roket berkeliaran di kawasan itu.

Agak melucukan juga apabila pemiliknya memberi alasan penggunaan trak tentera jenis Pinzgauer itu adalah gimik promosi kopi jualannya.

Namun, keesokannya polis Putrajaya menahan pula seorang lelaki berusia 32 tahun serta merampas kenderaan, peralatan serta seragam tentera di kuarters penjawat awam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

Berdasarkan maklumat, polis menemui kenderaan warna hitam model sama dengan celoreng tentera.

Hasil temu bual dengan lelaki itu, kenderaan yang dimilikinya adalah tender daripada Kementerian Pertahanan serta dibeli daripada syarikat pelupusan besi buruk di Pulau Pinang dengan harga RM20,000.

Penggunaan peralatan ketenteraan ini oleh orang awam tanpa sekatan berlaku mungkin disebabkan beberapa model kenderaan tempur milik pasukan keselamatan yang hendak dilupuskan dijual secara tender terbuka kepada orang awam.

Walaupun mereka sewajarnya menukar warna serta fizikal kenderaan itu untuk kesesuaian penggunaan di jalan raya awam namun segelintir pemiliknya keras kepala dan mahu kenderaan mereka kekal kelihatan seperti kenderaan tentera sebenar walaupun tahu perbuatan itu satu kesalahan.

Natijahnya, ia menimbulkan suasana panik dalam kalangan penduduk apabila sebuah kenderaan tentera siap dengan pelancar roket berlegar-legar di lokasi tumpuan awam.

Siapa yang tidak cemas apabila melihat kenderaan sedemikian rupa ketika negara sedang panas dengan beberapa ancaman termasuk kumpulan pengganas Daish.

Ketika ini banyak beberapa komuniti dalam talian yang mempromosikan hobi mengumpul barangan berkaitan ketenteraan seperti pakaian, peralatan dan lencana.

Perlanggaran larangan penggunaan sebarang bentuk kenderaan yang mempunyai persamaan dengan kenderaan agensi keselamatan bukan kali pertama dilaporkan.

Sebelum ini, pihak berkuasa pernah menahan individu yang menyamar sebagai anggota polis trafik dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi Honda CBX 750 yang dibeli menerusi acara lelong.

Sehubungan itu, penulis merasakan pihak berkuasa wajar menilai semula sebarang bentuk pelupusan aset pasukan keselamatan menerusi lelongan awam supaya perkara sebegini tidak berulang.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga perlu mengetatkan proses pendaftaran kenderaan sebegini dan menetapkan garis panduan tertentu kepada pemilik kenderaan.

Penulis adalah Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 9:36 AM