KEADAAN kolam yang dipenuhi air berwarna hitam.
KEADAAN kolam yang dipenuhi air berwarna hitam.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Semenyih: Limpahan air hitam yang bercampur sisa besi dari kolam berikutan aktiviti sebuah premis peleburan di Jalan Sungai Lalang di sini, menyebabkan berlaku pencemaran di longkang monsun berhampiran.

Malah, siasatan awal Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turut mendapati pencemaran 'efluen' itu dipercayai berpunca dari premis berkenaan yang beroperasi tanpa kebenaran.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Selangor Hee Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menerima laporan kejadian longkang tercemar di Taman Semenyih Permata di sini, jam 3.30 petang Khamis lalu.

Menurutnya, pihak berkenaan bertindak pantas menangani kejadian, sekali gus tiada henti tugas loji rawatan air (LRA) dan tidak berlaku gangguan bekalan air.

"Siasatan di premis berkeluasan 1.2 hektar itu mendapati ada kesan aktiviti peleburan menghasilkan sisa atau serbuk karbon berwarna hitam dan dibuang ke dalam dua kolam berhampiran.

PETUGAS  mengambil sampel air.
PETUGAS mengambil sampel air.

"Keadaan itu menjadikan kolam berwarna hitam dan hujan lebat menyebabkan air hitam melimpah mengakibatkan berlaku pencemaran longkang berhampiran.

"Malah, ia berpotensi mencemarkan Sungai Semenyih yang terletak 2.3 kilometer serta 22 kilometer dari muka sauk Jenderam Hilir," katanya pada sidang media di sini, semalam.

MPKj turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, pihak MPKj mengambil tindakan segera dengan membina benteng di lokasi kolam bagi menyekat aliran air tercemar dan menyita jentera serta premis berkenaan.

"Luas juga menjalankan ujian pensampelan 'efluen' dan kualiti air bagi parameter jumlah pepejal terampai (TSS) minyak dan gris (O&G) dan saringan logam untuk tujuan analisis oleh Jabatan Kimia Malaysia.

"Pada masa sama, pemantauan rapi diteruskan di hilir lokasi pencemaran serta mengeluarkan Perintah Perlindungan Air mengikut Seksyen 122(1) Enakmen Luas 1999 terhadap premis berkenaan.

"Setakat ini, kami belum mengetahui kandungan bahan di dalam tanah serta air di lokasi berkenaan kerana menunggu laporan Jabatan Kimia Malaysia," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati tapak disewa pemilik warga tempatan dengan operasi dikendali 14 pekerja warga asing yang tinggal berhampiran.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati premis itu beroperasi sejak tiga tahun lalu.

"Kami berjaya mengesan operator serta pemilik tapak itu. Siasatan lanjut berhubung perkara itu masih dijalankan termasuk mengenal pasti lokasi bekalan sisa besi terbabit diperolehi," katanya.

Katanya, pihaknya juga mengesan lapan kejadian berisiko menyebabkan berlaku pencemaran terhadap sungai serta LRA di negeri ini dalam tempoh dua bulan ini.

"Semua kejadian ini berjaya kami 'patahkan' dengan mengambil tindakan pantas bagi mengelak pencemaran terhadap sungai serta LRA yang boleh mengakibatkan gangguan bekalan air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 9:00 AM