Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan tegas terhadap sebuah premis kilang menghasilkan bahan roti di Kampung Baru Balakong, susulan pelepasan sisa minyak hingga mengakibatkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pihaknya ketika ini dalam proses menyemak status kilang itu sama ada berlesen atau tanpa kebenaran.

"Setakat ini, saya belum terima laporan (mengenai status kilang) itu. Tetapi, kita akan tetap mengambil tindakan penguatkuasaan," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Pasar Basah Pasir Penambang di sini, tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat.

 Ng Sze Han beramah mesra bersama peniaga pada lawatan kerjanya di Pasar Basah Pasir Penambang, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Ng Sze Han beramah mesra bersama peniaga pada lawatan kerjanya di Pasar Basah Pasir Penambang, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Kelmarin media melaporkan tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama agensi berkaitan menghalang pencemaran minyak dibuang ke Sungai Balak dalam kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian dilaporkan berkata, LUAS menerima laporan daripada MPKj berhubung pelepasan efluen berminyak membabitkan sebuah premis kilang di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 5:14 PM