Nurul Hidayah Bahaudin


Semenyih: Tindakan pantas pihak berkuasa menangani pencemaran berpunca daripada aktiviti peleburan dan pengasingan sisa besi di premis di Jalan Sungai Lalang, di sini, menyebabkan tiada henti tugas loji rawatan air (LRA) dilakukan serta tiada gangguan bekalan air.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor Hee Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berhubung pencemaran longkang parit monsun di Taman Semenyih Permata, di sini, 3.30 petang, Khamis lalu.

"Susulan laporan itu, pihak LUAS bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan MPKj melakukan siasatan sebelum mendapati pencemaran itu berpunca daripada 'efluen' di premis berkenaan yang beroperasi tanpa kebenaran.

"Siasatan di tapak premis berkeluasan 1.2 hektar terbabit mendapati kesan daripada aktiviti peleburan yang menghasilkan debu atau serbuk karbon berwarna hitam dan dibuang di dalam dua kolam berhampiran," katanya pada sidang media selepas meninjau premis berkenaan, hari ini.

Loy Sian berkata, debu serta serbuk karbon terbabit kemudian bercampur dengan air dan menjadikan kolam berkenaan berwarna hitam.

"Limpahan air hitam itu berlaku disebabkan hujan lebat dan menyebabkan pencemaran longkang monsun berhampiran," katanya yang memaklumkan pihak MPKj sudah menbuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Katanya, lokasi itu yang terletak 22 km dari muka sauk Jenderam Hilir turut berpotensi mencemarkan Sungai Semenyih yang berada pada jarak 2.3 km.

Beliau berkata, pihak MPKj mengambil tindakan segera dengan membina benteng di lokasi kolam itu bagi menyekat aliran air tercemar dan menyita jentera serta menutup pintu masuk premis berkenaan.

"Dalam usaha menangani masalah itu, pihak LUAS menjalankan ujian pensampelan 'efluen' dan kualiti air bagi parameter jumlah pepejal terampai (TSS) minyak dan gris (O&G) dan saringan logam untuk tujuan analisa oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM).

"Pada masa sama, pemantauan rapi diteruskan di kawasan hilir lokasi pencemaran serta mengeluarkan Perintah Perlindungan Air mengijut Seksyen 122(1) Enakmen LUAS 1999 terhadap premis berkenaan.

"Setakat ini, kami masih belum mengetahui kandungan bahan di dalam tanah serta air di lokasi berkenaan kerana masih menunggu keputusan daripada Jabatan Kimia," katanya.

Menurutnya, siasatan dilakukan mendapati tapak berkenaan disewa oleh pemilik premis warga tempatan dengan operasinya dikendalikan kira-kira 14 pekerja warga asing yang tinggal berhampiran lokasi terbabit.

"Kami berjaya mengesan operator serta pemilik tapak itu dan siasatan lanjut berhubung perkara itu masih disiasat termasuk mengenal pasti lokasi bekalan sisa besi terbabit diperolehi.

"Siasatan awal mendapati premis berkenaan sudah beroperasi sejak kira-kira tiga tahun lalu. Ketika pemeriksaan dilakukan, semua pekerja asing berkenaan sudah melarikan diri," katanya.

Katanya, pihaknya mengesan lapan kejadian yang berisiko menyebabkan pencemaran terhadap sungai serta LRA di negeri ini dalam tempoh hampir dua bulan ini.

"Semua kejadian ini berjaya kami 'patahkan' dengan mengambil tindakan pantas bagi mengelakkan berlaku pencemaran terhadap sungai serta LRA yang boleh mengakibatkan gangguan bekalan air kepada orang ramai," katanya.

HEE Loy Sian bersama kakitangan Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar meninjau premis aktiviti peleburan timah yang menyebabkan pencemaran longkang parit monson di Taman Semneyih Permata. FOTO Rohanis Shukri
HEE Loy Sian bersama kakitangan Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar meninjau premis aktiviti peleburan timah yang menyebabkan pencemaran longkang parit monson di Taman Semneyih Permata. FOTO Rohanis Shukri

Berita berkaitan:

  • Tapak proses timah dalam hutan disita
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 12:30 PM