Suraya Roslan

“NDAK (tidak) ada duit mahu membayar, anak-anak pigi (pergi) paya bakau mencari siput.” Demikian kata ibu kepada kanak-kanak tanpa warga negara di Sandakan, Sabah yang ‘membayar’ usaha Muhamad Fazri Hassan mengajar anaknya dengan dua baldi siput.

Walaupun tidak menerima sebarang bayaran namun Muhamad Fazri, 27, yang juga guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Gas, Sandakan merasa puas dan seronok dapat membantu mereka yang memerlukan.

Anak jati Sandakan itu berkata, kedaifan golongan itu yang berhijrah dari Filipina ke negara ini melahirkan simpati di hatinya untuk membantu daripada segi pendidikan.

Muhamad Fazri bergambar bersama anak muridnya. FOTO Ihsan Muhamad Fazri Hassan
Muhamad Fazri bergambar bersama anak muridnya. FOTO Ihsan Muhamad Fazri Hassan

"Masih ramai antara mereka yang tidak boleh membaca, menulis dan mengira menyebabkan saya tampil sebagai sukarelawan membantu atas ihsan sesama manusia.

"Kebanyakan mereka berusia antara tujuh hingga 65 tahun dan setiap Rabu selepas selesai sesi persekolahan harian, saya akan bergegas ke penempatan itu yang terletak sejam daripada rumah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, sebagai balasan, minggu lalu dia menerima dua baldi siput daripada komuniti itu hasil pencarian muridnya.

"Saya masih ingat dialog salah seorang ibu murid dengan saya yang mahu saya mengambil siput, mereka tidak ada duit mahu membayar kedatangan saya setiap minggu, jadi anak-anak pergi paya bakau mencari siput.

"Saya tidak mahu sebarang balasan namun berterima kasih kerana memberi siput yang sudah lama saya mencarinya," kata anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

DUA baldi siput yang dihadiahkan kepada Muhamad Fazri. FOTO Ihsan Muhamad Fazri Hassan
DUA baldi siput yang dihadiahkan kepada Muhamad Fazri. FOTO Ihsan Muhamad Fazri Hassan

Muhamad Fazri berkata, dia mengajar Bahasa Melayu dan Matematik dan cukup menghargai sikap anak muridnya yang tinggi dengan adab.

"Mereka tahu kekurangan diri namun sangat menghargai kedatangan saya dengan kerap mengucapkan terima kasih atas kesanggupan saya mengajar secara percuma.

"Walaupun kadang-kadang saya datang lambat untuk mengajar, mereka sabar menunggu. Semangat mereka yang mahu menuntut ilmu memberi kesan di hati saya untuk terus mengajar.

"Malah, walaupun serba kekurangan seperti tiada kerusi meja dalam kelas, namun mereka tidak pernah merungut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 8:00 PM