PEKAN tak percaya tekanan tinggi diberikan Zii Jia adalah sebab utama pemain itu minta keluar dari BAM. FOTO NSTP
PEKAN tak percaya tekanan tinggi diberikan Zii Jia adalah sebab utama pemain itu minta keluar dari BAM. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Apapun sentimen atau dosa besar yang dilakukan oleh pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu memikirkan harapan seluruh rakyat Malaysia untuk Olimpik Paris 2024 nanti.

Misi emas Olimpik 2024 perlu diberi keutamaan kerana badminton masih lagi menjadi prospek utama negara di temasya terbesar itu.

Menurut pemerhati sukan tempatan, Dr Pekan Ramli, isu membabitkan Zii Jia dan BAM itu boleh dianggap sebagai satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku.

Ini kerana ia memberi implikasi yang besar kepada sukan negara kerana pemain di ranking nombor tujuh dunia itu masih lagi menjadi sandaran utama di Olimpik nanti.

Namun selepas BAM memutuskan menjatuhkan hukuman penggantungan kepada Zii Jia selama dua tahun, ia sekali gus memberi isyarat bahawa pemain dari Kedah itu sudah boleh melupakan saingan Olimpik kecuali dia membuat rayuan.

Begitupun Pekan berkata, alasan tekanan yang digunakan oleh Zii Jia untuk keluar daripada BAM seharusnya tidak keluar daripada mulut pemain berkenaan.

"Saya tak pasti kenapa Zii Jia ambil keputusan untuk tinggalkan BAM. Saya tak percaya tekanan yang tinggi yang diberikan sebab utama dia minta keluar dari BAM.

"Kalau macam itu alasannya, kita boleh lupakan dia. Sebab dia takkan boleh jadi juara dan tidak akan boleh memang emas pun.

"Untuk bergelar juara, seseorang atlet itu perlu hadapi pelbagai jenis tekanan walau datang dari sesiapapun.

"Dia kena hadapi tekanan itu. Ini belumpun jadi juara dunia atau Olimpik, dia dah kata dia tak boleh hadapi tekanan, jadi kita pun elok lupakan saja dia," katanya.

Namun jika duit menjadi alasan, Zii Jia seharusnya membuang sikap tamak itu kerana bimbang ia akan merugikan masa depannya.

"Berjaya dulu, duit akan datang kemudian. Kalau sifat tamak itu ada dalam diri dia, kita minta dia fikirkan semula.

"Ini kerana sifat itu boleh merugikan Malaysia dan juga dirinya. Kita bimbang dia mungkin akan terlepas semua kerana itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 9:02 PM