KELIHATAN ratusan kontena di NBCT di Butterworth di antaranya mengandungi sisa plastik. FOTO DANIAL SAAD
KELIHATAN ratusan kontena di NBCT di Butterworth di antaranya mengandungi sisa plastik. FOTO DANIAL SAAD
BERNAMA

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang mendedahkan sebanyak 132 kontena mengandungi sisa plastik dan sampah dibawa masuk ke negeri ini serta dikesan masih tersadai di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NCBT).

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Saidi Ismail berkata, semua kontena itu dibawa masuk ke pelabuhan berkenaan sejak 1 Jun lalu dan masih belum diisytiharkan serta tidak memiliki Lesen Import (AP).

“Setiap kontena sepanjang 40 kaki membawa muatan plastik dan sisa sampah sehingga 28 tan dan sejak Januari lalu dan sehingga semalam, sebanyak 397 kontena mengandungi bahan berkenaan masih tersadai di NCBT,” katanya pada sidang akhbar di Butterworth, hari ini.

Pada 30 Mei lalu, JKDM Pulau Pinang mendedahkan 265 kontena mengandungi sisa sampah dibawa masuk ke negeri ini dan dikesan masih tersadai di pelabuhan sejak Januari lalu.

Pemeriksaan kastam mendapati, kebanyakan kontena itu dari Kanada, Belgium, Jerman dan Amerika Syarikat selain diimport sebagai bahan kitar semula namun sebenarnya mengandungi plastik kotor serta sisa sampah.

Saidi berkata berikutan itu, kerajaan terpaksa menanggung jutaan ringgit caj pelabuhan dan siasatan awal mendapati 132 kontena itu diimport oleh 11 syarikat di bawah kod palsu dan AP.

“Syarikat ini mengisytihar barangan lain seperti bahan kitar semula dan plastik bersih untuk kegunaan industri namun pemeriksaan mendapati ia adalah sisa sampah serta plastik kotor,” katanya.

Katanya, pihaknya sudah membuka kertas siasatan terhadap 116 daripada 367 kontena dan pihaknya turut mengenakan kompaun kepada 11 syarikat berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga berjaya mengenal pasti 94 kontena itu dibawa masuk dari Hong Kong, Amerika Syarikat (68), Jerman (28), Kanada (20), Jepun (14), Finland (12), Greece (12), Australia (11), Sepanyol (lima), Chile (tiga) dan dua kontena masing-masing dari New Zealand dan Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 5:32 PM