Shamsul Munir Safini


KERAJAAN rugi lebih RM5 juta sejak enam bulan lalu kerana terpaksa menanggung caj tempat letak lebih 265 kontena mengandungi sampah plastik yang tersadai di Pengkalan Kontena Butterwoth Utara (NBCT).

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Saidi Ismail berkata, jumlah itu terpaksa dibayar kepada NBCT selepas kontena berkenaan tidak dituntut dan tersadai di situ sejak enam bulan lalu.

Bahkan, katanya, sebahagian kontena yang mengandungi sampah plastik diimport masuk dari Eropah dan Asia itu terpaksa ditempatkan di Kuarters Kastam di Kampung Kastam, Butterworth berikutan kesesakan di pelabuhan.

“Jumlah 265 itu adalah kontena yang masih tersadai dan belum diambil tindakan, manakala 158 lagi sudah dikenakan tindakan.

“Daripada 265 kontena yang tersadai itu, 149 sudah diikrar manakala selebihnya masih belum diikrar,” katanya ketika membawa media melawat kontena yang ditempatkan di Kuarters Kastam di Kampung Kastam, Butterworth, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh.

BOON Poh (kiri) bersama Saidi menunjukkan kontena yang mengandungi sisa plastik. FOTO Danial Saad
BOON Poh (kiri) bersama Saidi menunjukkan kontena yang mengandungi sisa plastik. FOTO Danial Saad

Beliau berkata, 158 kontena lain yang mengandungi sampah plastik ini sudah disiasat dan diambil tindakan.

Saidi berkata, sehingga 27 Mei, 130 daripadanya sudah dikenakan kompaun RM1,000 manakala 28 lagi masih disiasat membabitkan 11 syarikat yang mengimport masuk kontena ini.

Beliau berkata, kos yang terpaksa dikeluarkan juga akan terus meningkat dengan lambakan kontena ini di NBCT.

“Kita terpaksa membayar kesemua kos fi dan caj yang dikenakan kerana semua kontena ini memakan ruang di NBCT dan sehingga hari ini, kita menganggarkan jumlah yang terpaksa dibayar melebihi RM5 juta.

“Malah, cadangan daripada pihak berkenaan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengambil tindakan menghantar balik kontena tersadai ini ke negara yang diimport amat disokong,” katanya.

Menurutnya, kita tidak mahu negara ini menjadi tempat longgokan sampah dan kerajaan terpaksa membazirkan wang membayar kos yang tidak sepatutnya.

“Jadi tindakan untuk menghantar balik kesemua kontena yang tidak dituntut dan diikrar ini amat disokong.

“Kos penghantaran ini pula akan dikenakan ke atas syarikat selain mereka juga perlu membayar kompaun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 12:52 AM