YEO (kanan) melihat kontena yang mengandungi sisa plastik tercemar di Westport, Pulau Indah, kelmarin.
YEO (kanan) melihat kontena yang mengandungi sisa plastik tercemar di Westport, Pulau Indah, kelmarin.
Amir Abd Hamid


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak menafikan pengimportan sisa tidak dibenarkan termasuk sampah plastik tercemar masih berlaku walaupun kerajaan mengharamkan kemasukan sisa buangan itu sejak tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Azimah Abd Hamid berkata, modus operandi penyeludupan bahan itu ialah melakukan pengimportan mengikrar dagangan menggunakan nombor tarif yang tidak memerlukan permit.

Katanya, pasukan JKDM terus bertindak agresif dengan menahan kontena disyaki membawa masuk bahan larangan itu berdasarkan risikan dan maklumat diterima pihaknya.

“Kemudian pemeriksaan rapi akan dilakukan seterusnya membuat siasatan atas dagangan berkenaan.

“Buat masa ini kami tidak membentuk pasukan petugas khas bagi menangani kemasukan sisa diseludup masuk melalui pelabuhan utama negara khususnya Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Pulau Pinang.

“Kastam menetapkan sebarang kes fraud yang diperoleh termasuk plastik, maka lesen ejen kastam yang terbabit akan digantung dan ditarik balik,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai penemuan 24 kontena di Pelabuhan Barat mengandungi sisa plastik tercemar tidak boleh dikitar semula.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin dipetik sebagai berkata, semua 24 kontena itu diisytiharkan mengandungi sisa pepejal bersih namun pemeriksaan lanjut mendapati ia mengandungi bahan larangan.

Menurut Yeo, pihaknya turut menerima laporan kontena mengandungi sisa plastik tercemar di Pelabuhan Utara dan pelabuhan di Pulau Pinang.

Setakat 11 April ini, sebanyak 300 kilang kitar semula sudah diperiksa di seluruh negara dengan 148 diarah tutup kerana beroperasi secara haram serta tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pada 26 Oktober tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, mengumumkan kerajaan menghentikan sepenuhnya pengeluaran lesen import (AP) sampah plastik.

Mengikut statistik dikeluarkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), lebih 1.8 juta tan sisa plastik dari 33 negara dihantar ke Malaysia sejak 2015 hingga Julai 2018.

Harian Metro pada 20 Januari lalu dalam laporan eksklusifnya turut mendedahkan 130 kontena berisi sampah plastik terpakai tersadai di Pelabuhan Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 6:31 AM