KONTENA berisi plastik kitar semula yang tersadai selepas gagal memperolehi kelulusan kastam di Pelabuhan Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
KONTENA berisi plastik kitar semula yang tersadai selepas gagal memperolehi kelulusan kastam di Pelabuhan Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Shamsul Munir Safini

BUTTERWORTH: “Mereka ini cuba menangguk di air yang keruh, bukan tak tahu salah, tapi cuba kenakan pihak berkuasa,” itu kata Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Saidi Ismail berkenaan 130 kontena berisi sampah plastik terpakai tersadai di Pelabuhan Pulau Pinang.

Kontena berkenaan terbiar selepas syarikat yang megimportnya didapati menipu borang deklarasi import sampah itu sejak tahun lalu.

Beliau berkata, syarikat itu tahu kerajaan tidak membenarkan syarikat mengimport sampah plastik masuk ke negara ini namun mereka mengambil kesempatan dengan menipu borang akuan dengan menyatakan ia plastik kitar semula yang dibenarkan.

“Kastam mengakui kadangkala memang tidak dapat menentukan sama ada plastik daripada kod dibenarkan atau sebaliknya dan itu yang cuba diambil kesempatan oleh syarikat dengan mengelirukan pihak berkuasa.

“Mereka bawa masuk sampah, tapi di dalam borang mereka mengaku ia plastik kitar semula yang dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan itu semua kontena berkenaan disita dan sebahagiannya disiasat dan syarikat berkenaan akan diambil tindakan.

Saidi berkata, daripada 130 kontena yang dianggarkan bernilai RM2.6 juta itu, 16 daripadanya sudah dibuka kertas siasatan dan syarikat pengimport akan diambil tindakan.

Katanya, sejak Lesen Import (AP) barangan plastik kitar semula dibekukan Julai lalu, semua kontena ini tersadai selepas syarikat gagal membawa keluarnya.

“Semua kontena ini dibawa dari China dan berisi sampah berbeza dengan apa yang didakwa dalam borang deklarasi syarikat.

“Kita dapat mengesannya hasil bantuan teknikal Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) yang bersama-sama setiap kali membuat pemeriksaan ke atas kontena plastik kitar semula ini,” katanya.

SAIDI ketika ditemuramah di Kompleks Kastam Seberang Jaya. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
SAIDI ketika ditemuramah di Kompleks Kastam Seberang Jaya. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Saidi berkata, kontena tersadai di Pelabuhan Pulau Pinang terlalu banyak sehingga membuatkan kawasan operasi di situ sesak.

Menurutnya, kastam sentiasa mendapat bantuan teknikal daripada JPSPN bagi membantu pihaknya menentukan kandungan sisa plastik kitar semula yang dibawa masuk itu.

Saidi berkata, langkah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin mahu kastam diberi taklimat dan pendedahan mengenai jenis sisa plastik yang diimport itu amat baik.

“Kami tidak mempunyai pengetahuan teknikal mengenai bahan plastik ini dan hanya bergantung kepada borang deklarasi dan kandungan fizikal bahan itu,” katanya.

Menurutnya, sisa plastik dengan kod tarif 3915 ialah sampah dan tidak dibenarkan dibawa masuk ke negara ini dan ia tersenarai di dalam 18 kriteria yang perlu dipenuhi syarikat yang mahu memperoleh AP plastik ini.

Katanya, plastik dari kod tarif 3901 hingga 3926 sahaja dibenarkan diimport dari negara maju dan bukan sampah dibawa masuk dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 10:01 AM