Mohamed Farid Noh


Muar: Perdana Menteri membayangkan sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang Akaun Satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi digunakan rakyat yang berdepan pandemik Covid-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang Akaun Satu KWSP dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.

"Saya nak beritahu sukar untuk kita menimbangkan perkara berkenaan (benarkan pengeluaran wang akaun satu KWSP), bukan kerana kerajaan tidak mahu.

"Memang ramai yang teks saya berkata 'tolonglah Tan Sri, kami susah'. Sekarang pun tanpa mengeluarkan simpanan itu kita sudah menyediakan berbilion ringgit bagi membantu rakyat.

"Jika kerajaan benarkan perkara itu dilaksanakan dengan mengeluarkan segala simpanan KWSP yang masih berbaki, saudara akan hadapi masalah yang lebih besar di masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad di Dewan Sri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir, dekat sini, hari ini.

MUHYIDDIN menyampaikan ucapan pada Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad di Sekolah Kebangsaan Bukit Pasir, hari ini. FOTO Bernama
MUHYIDDIN menyampaikan ucapan pada Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad di Sekolah Kebangsaan Bukit Pasir, hari ini. FOTO Bernama

Isnin lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan mencadangkan KWSP supaya membenarkan pencarum untuk mengeluarkan maksimum RM10,000 secara one off bagi mengharungi cabaran berikutan impak penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kerajaan membelanjakan hampir RM7 bilion sebelum ini bagi melaksanakan pakej rangsangan bagi membantu meringankan beban rakyat.

"Ini semua dilakukan bagi membantu meredakan bebanan rakyat dan kerajaan sudah bantu hampir sembilan juta rakyat terjejas.

"Belanjawan 2021 nanti akan ada lebih banyak langkah yang akan diumumkan bagi meringankan beban rakyat.

"Sebelum ini juga kerajaan sudah membenarkan rakyat mengeluarkan caruman KWSP dari Akaun Dua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 12:46 PM