KETIBAAN Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Sri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir, Pagoh. FOTO ZAIN AHMED
KETIBAAN Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Sri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir, Pagoh. FOTO ZAIN AHMED
Mohamed Farid Noh


Muar: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang ke kawasan Parlimen Pagoh bagi bertemu dengan penduduk kawasan berkenaan, pagi ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu tiba di perkarangan Dewan Sri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir, dekat sini, pada 10.25 pagi bagi merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad.

Perdana Menteri kemudian dijadualkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Haji Muhammad Yassin, di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) di Bandar Universiti Pagoh pada 12.50 tengah hari nanti.

Masjid itu mengambil nama ayahnya, Tuan Guru Muhammad Yassin Muhammad iaitu seorang ulama terkenal di negeri ini.

Beliau selepas itu dijangka menghadiri program Sembang Santai Bersama Masyarakat Cina dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Parlimen Pagoh di Restoran Taman Pagoh pada 2.45 petang.

Program rasmi Muhyiddin diakhiri pada 4 petang dengan Majlis Perjumpaan bersama Kepimpinan Masyarakat Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh.

Muhyiddin adalah Ahli Parlimen Pagoh sejak 1978 selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir sekali gus mencatat sejarah apabila menjadi Perdana Menteri pertama bergelar sebagai ADUN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 11:00 AM