KAFE AHAD

Selepas cadangan moratorium dilanjutkan sehingga Disember ini, ramai yang memohon kepada kerajaan untuk membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada akaun 1 secara 'one off'.

Cadangan itu susulan ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang kini berlarutan hampir setahun.

Sebahagian besar yang memohon membabitkan golongan yang hilang kerja dan mahu menggunakan wang berkenaan bagi tujuan memulihkan ekonomi keluarga.

Adakah pengeluaran akaun 1 KWSP ini menjadi 'talian hayat' kepada mereka yang terkesan atau 'risiko tidak dijangka' yang menanti dalam jangka masa panjang.

Ikuti wawancara bersama Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) PROF DR JAMAL OTHMAN dan wartawan, NOR 'ASYIKIN MAT HAYIN bagi mengupas isu ini.

Ada cadangan memohon KWSP membenarkan pengeluaran secara one off sehingga RM10,000 atau mengikut peratusan tertentu daripada akaun 1 KWSP bagi kegunaan mendesak ketika ini?

Mendepani suasana luar biasa akibat pandemik Covid 19, satu pendekatan luar biasa juga diperlukan untuk membantu meringankan beban rakyat.

Ini mungkin termasuk membenarkan pengeluaran akaun 1 KWSP untuk kegunaan mendesak ketika ini.

Namun, saya berpendapat ia adalah kebenaran khas yang boleh diberikan kepada individu yang berada dalam situasi sangat terdesak sahaja.

Contoh, jika tidak memperoleh moratorium pinjaman atau jalan penyelesaian lain menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, untuk mengelakkan ia disalah guna, pencarum atau pemohon perlu mengemukakan bukti kesusahan yang dialami adalah disebabkan pandemik Covid-19 dengan disertakan juga dokumen sokongan daripada bank berkaitan.

KWSP juga wajar membuat pembayaran terus kepada institusi kewangan terbabit.

Apakah implikasinya terhadap ekonomi negara?

Saya berpendapat, langkah pengeluaran akaun 1 KWSP boleh membantu ekonomi daripada segi mengurangkan kemungkinan meningkatnya kadar pinjaman tidak berbayar (NPL).

Maksudnya, jika golongan terdesak ini tidak dibantu segera menerusi lanjutan moratorium atau pengeluaran KSWP, maka NPL akan meningkat.

Ia boleh menjejaskan sektor bank dan ekonomi negara jika NPL ini menjadi default (gagal dibayar).

Jika pengeluaran akaun 1 KWSP dibenarkan, mungkin ramai rakyat Malaysia berhadapan masalah kekurangan wang simpanan selepas persaraan?

Tanpa simpanan seperti caruman dalam KWSP, kita percaya ramai rakyat Malaysia kurang cenderung menabung atas kerelaan sendiri untuk kegunaan selepas bersara.

Oleh itu, sekiranya pengeluaran akaun 1 dibenarkan, pencarum perlu mengambil sikap berhati-hati dan berhemah.

Mereka perlu mempertimbangkan banyak implikasi terhadap diri dan keluarga jika wang caruman itu untuk kegunaan selepas bersara, digunakan pada masa sekarang.

Selain itu, KWSP juga perlu memikirkan mekanisme tertentu agar tidak berlaku penyalahgunaan kemudahan ini.

Apakah langkah terbaik boleh dilakukan untuk memastikan situasi menang-menang (kesan ekonomi lebih baik kepada negara dan rakyat masih mempunyai wang simpanan mencukupi selepas persaraan) sekiranya cadangan ini dilaksanakan?

Cadangan ini mungkin pilihan terakhir dalam situasi kecemasan seperti sekarang ini.

Saya berpendapat bank masih ada ruang untuk melanjutkan moratorium pinjaman bersasar sehingga suku pertama atau kedua 2021.

Kerajaan juga wajar mewujudkan Tabung Jaring Keselamatan Sosial bagi membantu golongan yang rentan (vulnerable) kepada krisis ekonomi ini.

Selain itu, pendekatan ekonomi berasaskan komuniti setempat perlu diperkasakan dengan rangsangan tertentu.

Ini merangkumi pendekatan zakat, koperasi dan dana daripada sumber wakaf.

Bahkan institusi agama iaitu masjid atau surau disarankan supaya peka dan mengenal pasti permasalahan kesejahteraan mikro atau ketakupayaan ekonomi yang dialami ahli kariah masing-masing.

Tindakan itu sangat relevan dalam suasana krisis berganda yang sedang negara lalui ini.

Apakah undang-undang KWSP atau kerajaan perlu dipinda bagi merealisasikan kebenaran pengeluaran wang akaun 1?

Dalam situasi semasa ini, memang memerlukan pindaantertentu, tetapi bergantung kepada kekangan atau kehendak peraturan sedia ada.

Adakah dana KWSP yang ada sekarang mampu memenuhi keperluan pencarum jika program pengeluaran akaun 1 KWSP dibenarkan?

Ini bergantung kepada unjuran jumlah pengeluaran yang akan dilakukan pencarum.

Ia berbanding kecairan semasa dimiliki KWSP selepas mengambil kira komitmen pembayaran lazim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 8:01 AM