Mohamed Farid Noh

Muar: Kerajaan amat memahami keperitan dihadapi rakyat ketika berdepan impak ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berharap dan mendoakan supaya wabak Covid-19 pulih tidak lama lagi dan ekonomi kembali berkembang.

Katanya, dalam situasi sukar ini beliau tidak boleh menasihatkan rakyat untuk mengikat perut.

"Saya takut nak cakap sebenarnya, takut tersalah cakap, saya tahu ramai di luar sana yang mengalami kesusahan.

"Ada yang kata saya Perdana Menteri tentulah dia boleh hidup tetapi yang di bawah (rakyat) susah. Namun saya amat faham apa di alami rakyat dan kerajaan akan berusaha yang terbaik bagi membantu rakyat yang terjejas

"Tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri amat besar dan berat, namun saya bersyukur dengan doa rakyat, saya mampu terus bekerja. Yang penting rakyat dan kerajaan berganding bahu bagi mengekang wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad di Dewan Sri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir, dekat sini, hari ini.

TAN Sri Muhyiddin Yassin, menyampaikan sijil Rakan Niaga Koperasi kepada ahli koperasi selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24. FOTO Zain Ahmed
TAN Sri Muhyiddin Yassin, menyampaikan sijil Rakan Niaga Koperasi kepada ahli koperasi selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24. FOTO Zain Ahmed

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kerajaan akan mengambil langkah tambahan sewajarnya dalam belanjawan yang akan dibentangkan 6 November depan iaitu bagi memulihkan kembali kehidupan rakyat.

"Kita kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang prihatin akan mengambil langkah tambahan bagi membantu rakyat yang terhimpit kesan ekonomi. "Sebelum ini sebanyak RM305 bilion sudah disalurkan dalam pelbagai pakej rangsangan bantuan rakyat dan Belanjawan 2021 akan memberi lebih tumpuan dalam usaha mengawal pandemik Covid-19 tidak menular.

"Kerajaan akan terus menyediakan pakej rangsangan iaitu bantuan kepada rakyat. Setakat ini hampir RM2 bilion kita belanjakan untuk Kementerian Kesihatan, manakala untuk Sabah sahaja, kira-kira RM400 juta dibelanjakan dalam tempoh beberapa minggu lalu membabitkan bantuan makanan yang dihantar ke rumah dan peralatan perubatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 1:56 PM