Wartawan HM

Kuala Lumpur: Asrama pekerja Tropicana Golf & Country Resort (TGCR), Petaling Jaya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari berkuat kuasa, Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu dilaksana selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang, hari ini menerima nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), susulan kes positif Covid-19 membabitkan pekerja itu.

Katanya, PKPD juga perlu untuk membolehkan ujian saringan dan pengawalan penularan wabak dilakukan ke atas 500 pekerja dilakukan sebaik mungkin.

"PKPD ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kalangan penghuni asrama dan membolehkan pengesanan secara langsung dilakukan sepanjang tempoh itu.

"Setiap prosedur operasi standard (SOP) mesti dipatuhi pekerja asrama dan pihak lain contohnya, larangan keluar masuk dan SOP lain yang diperkenalkan dalam PKPD," katanya dalam sidang media secara virtual mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pemulihan (PKP), hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kawasan kediaman dan kelab di TGCR tidak terbabit dalam perintah berkenaan.

"Hanya blok asrama sahaja dikenakan PKPD dan tidak babitkan kawasan kelab golf dan kediaman penduduk," katanya.

Gambar fail, Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.
Gambar fail, Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.

Mengenai beberapa pekerja pusat beli-belah 1Utama di Bandar Utama yang disahkan positif Covid-19, beliau memberitahu mesyuarat juga bersetuju untuk menutup premis itu selama tujuh hari bermula 12 Oktober.

Katanya, sidang khas bersetuju dengan cadangan KKM dengan penutupan itu supaya proses saringan dapat dilakukan terhadap semua 800 pekerja dan pihak yang berkaitan.

"Juga untuk membolehkan proses sanitasi dan nyahkuman dibuat di seluruh pusat beli-belah," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 4:46 PM