Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja syarikat sarung tangan Top Glove, di Klang, Selangor, bermula tengah malam ini sehingga 30 November.

Pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan terpaksa dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 215 kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di kawasan Jalan Abadi, Klang, itu akan membabitkan 13,190 pekerja yang tinggal di asrama lelaki dan asrama wanita.

"PKPD ini akan bermula jam 12 tengah malam ini (17 November) sehingga 30 November bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan bersasar kepada semua penghuni asrama dan penduduk.

"Pelaksanaan PKPD ini membabitkan kawasan asrama lelaki di Jakan Abadi 1A/KU8, asrama wanita di Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Abadi 10A/KU8," katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Beliau berkata PKPD turut membabitkan 1,200 penduduk di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat pada hari ini juga memutuskan untuk menamatkan PKPD di Institut Latihan Kesihatan Malaysia Johor Bahru, PKPD Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu, Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh Kampung Matamba, Sabah.

"Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju menamatkan PKPD di kawasan berkenaan.

"Walaubagaimanapun, kesemua penduduk di lokaliti ini masih tertakluk kepada SOP PKPB yang dilaksanakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 4:51 PM