Wartawan HM

Kuala Lumpur: Kedah, Perak dan Negeri Sembilan yang sebelum ini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) kini ditukar kepada PKP Pemulihan (PKPP) mulai 19 Mac hingga 31 Mac.

Manakala, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak kekal berstatus PKPB bagi tempoh itu, dengan Sarawak bermula 16 Mac hingga 29 Mac.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun aktiviti merentas negeri masih dilarang di seluruh negara kecuali melalui gelembung perjalanan yang diuruskan sektor pelancongan.

"Hanya rentas daerah sahaja dibenarkan, kecuali bagi Sabah dan Sarawak yang melarang aktiviti merentas daerah di negeri masing-masing.

"Tujuh negeri dan wilayah lain yang kekal dalam PKPP adalah Perlis, Pahang, Terengganu, Sabah, Melaka, Putrajaya dan Labuan," katanya pada sidang media perkembangan PKP hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, meskipun Kedah dan Negeri Sembilan ditukar kepada PKPP, tiga daerah negeri terbabit masih berstatus PKPB iaitu Kuala Muda dan Kulim di Kedah, selain Seremban.

Katanya, keadaan sama berlaku di Nabawan, Sabah yang berstatus PKP selama 14 hari bermula 17 Mac sehingga 30 Mac 2021.

"Pengekalan PKPB bagi negeri berkaitan kerana masih banyak zon merah akibat Covid-19, manakala negeri bertukar PKPP berikutan jumlah mukim yang menjadi zon hijau bertambah.

"Keputusan ini juga dibuat selepas penilaian risiko dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya yang memberitahu mendengar pembentangan KKM mengenai Covid-19, semalam.

MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.
MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama.

Ismail Sabri berkata, trend penurunan kes Covid-19 ketika ini dijangka berterusan dengan Malaysia mampu mencapai 500 kes sehari pada Mei, bersandarkan kadar kebolehjangkitan 0.87.

Bagaimanapun, beliau menekankan kepentingan buat semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk terus memastikan penurunan kes wabak itu.

"Ini kerana jika kita langgar SOP, tidak ada jaminan kes tidak akan naik semula. Yang penting rakyat bertanggungjawab (patuhi SOP), maka kes akan terus menurun," katanya yang memberi contoh negara seperti Perancis, Itali dan Poland yang mencatat peningkatan mendadak kes Covid-19 selepas berlaku penurunan, baru-baru ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 6:05 PM